Merlleynney Fane tampil dengan ‘Poingandad Diya’ kisah cinta yang tidak kesampaian

d25c4dc7 6bb4 4b1d 8092 85be9bbbd34b

KOTA KINABALU: 22 April 2026 – Penyanyi tempatan, Merlleynney Fane, bakal tampil dengan single terbaharu berjudul Poingandad Diya, sebuah lagu yang mengetengahkan kisah cinta, kehilangan dan kebangkitan semula.

Komposer muda, Jaccius Donnius, menyifatkan karyanya itu lahir dari pengalaman hidupnya sendiri.

Menurut Jaccius, Poingandad Diya diilhamkan oleh kisah cinta yang pernah diperjuangkan sepenuh hati, namun akhirnya hanya tinggal kenangan.

“Peritnya bukan sekadar kehilangan, ketika hati masih setia mencintai, dia memilih pergi tanpa jawapan. Ketika itulah terilham lagu, dari rasa sayang yang belum padam dan kerinduan tanpa haluan,” katanya.

Jelasnya, lagu itu turut membawa pencerahan, supaya jangan memberi harapan yang tidak pasti kerana ia mampu melukakan hati insan yang benar-benar ikhlas mencintai.

Dalam nada yang masih terasa, Jaccius mengakui telah mengambil masa hampir dua tahun untuk pulih dari pengalaman itu sebelum karya itu disempurnakan.

“Saya banyak berdiam diri dan refleksi diri. Sampai satu hari ketika bermain gitar, saya cuba gaya petikan guitar R&B dan dari situ datang rasa yang mahu disampaikan. Saya mula cari melodi yang sesuai dengan emosi itu,” katanya.

Kemahuannya ialah menghasilkan lagu yang bukan sekadar sedap didengar, tetapi mampu menyentuh perasaan pendengar dan kekal relevan merentasi generasi.

Sementara itu, Merlleynney menzahirkan penghargaan kepada Jaccius kerana memberi kepercayaan penuh kepadanya untuk menyampaikan lagu berkenaan.

“Saya sangat berterima kasih kepada Jaccius kerana memberi peluang ini. Saya mengenalinya melalui pertandingan nyanyian seperti Sugandoi,” katanya.

Beliau turut menghargai sentuhan penerbit muzik, Ben Simon, yang disifatkan banyak membantu menguatkan keseluruhan karya itu.

“Dari segi vibe, arrangement dan feel, semuanya sangat hidup. Energi yang dibawa memang membantu menaikkan lagi kekuatan lagu ini,” katanya.

Merlleynney mengakui cabaran utama sebagai penyanyi adalah mendalami emosi lagu berkenaan supaya penghayatan dapat disampaikan dengan baik kepada pendengar.

Poingandad Diya dijangka dilancarkan pada awal Mei ini menerusi platform digital sebagai single terbaharu Merlleynney.

Menurutnya, selepas pelancaran itu, beberapa lagi single baharu akan dihasilkan termasuk dalam bahasa Dusun, Melayu dan Rungus.

Merlleynney berharap lagu berkenaan dapat menjadi teman kepada pendengar yang sedang melalui fasa kecewa dan proses penyembuhan diri.

“Saya harap lagu ini bukan sekadar didengar, tetapi dirasai. Kadang-kadang apabila kehilangan cinta, keluarga dan teman-teman sebenarnya menjadi kekuatan untuk kita bangkit semula,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal