KOTA KINABALU: 16 April 2026 — Siti Nur Hanisah Omar Hashim, 20, menerima Anugerah Pelajar Terbaik Program Pendidikan Awal Kanak-kanak peringikat kebangsaan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, sempena Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional Zon Sabah/Labuan yang telah berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (SICC) baru-baru ini.
Menurut Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Lumang anak Lang, pemilihan Hanisah sebagai penerima anugerah adalah berdasarkan pencapaian cemerlang serta impak positif yang dibawanya kepada pelajar lain dan masyarakat, sekali gus membuktikan keupayaan institusi vokasional melahirkan pelajar berkualiti tinggi.

Hanisah sebelum ini turut mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila menjadi satu-satunya wakil Malaysia yang tersenarai sebagai finalis Global Student Prize 2025, sebuah anugerah pendidikan berprestij dunia yang menawarkan hadiah bernilai USD100,000.
Kejayaan Hanisah turut disokong oleh penglibatannya dalam pelbagai inisiatif inovatif, termasuk projek sosial berasaskan konsep kitar tinggi fabrik terpakai kepada boneka pendidikan yang dikenali sebagai “Mearpet”.
Projek tersebut bukan sahaja memberi nilai pendidikan kepada kanak-kanak, malah berjaya meraih pelbagai pengiktirafan di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Antara pencapaian lain termasuk kemenangan dalam pertandingan Pitchbah anjuran kelab belia OOZE pada tahun 2023 serta penerimaan geran YouthMADE Festival Amplify Grant daripada organisasi berpangkalan di Amerika Syarikat, Digital Promise, pada tahun 2024. Projek beliau juga pernah mendapat liputan di saluran DidikTV KPM pada awal tahun 2025.
Dari segi akademik, Hanisah konsisten mencatat keputusan cemerlang dengan menerima anugerah pelajar terbaik setiap semester dan pernah memegang jawatan sebagai Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di kolej berkenaan.
Selain itu, Hanisah turut menunjukkan komitmen dalam memperkasa pendidikan melalui pelaksanaan kelas tutorial Malaysian University English Test (MUET) bagi membantu pelajar melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi. Beliau juga terlibat dalam projek pembelajaran antarabangsa Virtual, Remote, Live (VRL) yang menghubungkan pelajar merentas negara.
Pada tahun 2023, Hanisah turut diberi penghormatan sebagai panel pelajar dalam Malaysia Teacher Prize Summit yang berlangsung di Selangor, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai pemimpin pelajar berwibawa.
Kejayaan ini sekali gus mengangkat nama Sabah di persada pendidikan negara dan menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.
NOTE: Balik2 sudah kita angkat nama KV, kali ini kita push nama Hanisah pula
