Empat industri makanan catat sekitar 47 juta pendapatan dengan 235 orang pekerja

21DA6A21 C0A8 4F40 9647 FBECDB17FE10

PENAMPANG: 18 April 2026 – Empat perusahaan, Ja Hwa Bakery, Indahmanis Label & Packaging, Twinine dan SL Products masing-masing mencatatkan prestasi memberangsangkan dalam bidang pembuatan makanan, pembungkusan dan produk berasaskan makanan tempatan.

Keempat-empat perusahaan ini mencatatkan pendapatan antara RM8 juta hingga RM16 juta dengan menggaji antara 15 hingga 100 orang pekerja tempatan yang mencerminkan kekuatan dan potensi sektor PKS di daerah Penampang.

Ja Hwa Bakery mencatatkan perolehan melebihi RM16 juta pada tahun lalu dengan menggaji kira-kira 100 pekerja, manakala Indahmanis Label & Packaging menjana lebih RM13 juta dengan tenaga kerja sekitar 80 orang yang menyediakan perkhidmatan kepada lebih 500 syarikat klien.

Manakala Twinine pula mencatatkan perolehan lebih RM8 juta dengan 40 pekerja dan SL Products merekodkan perolehan melebihi RM10 juta dengan 15 pekerja melalui pengeluaran produk berasaskan sarang burung dan makanan laut.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah yang juga Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick semasa lawatan kerja baru-baru ini berkata, pencapaian itu membuktikan keupayaan usahawan tempatan untuk berkembang dan bersaing dalam industri.

“Saya berbangga melihat kejayaan usahawan tempatan yang mampu menjana pendapatan jutaan ringgit dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah,” katanya.

Beliau menggalakkan semua perusahaan berkenaan untuk menyertai pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan melalui kementeriannya.

“Kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) komited untuk terus membantu usahawan meningkatkan kapasiti pengeluaran, memperluas pasaran dan memperkukuh daya saing,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal