TELUPID: 10 April 2026-Kerajaan meningkatkan kuota bekalan beras kepada 35,000 tan metrik bulan ini bagi menstabilkan pasaran susulan pembelian panik di Sabah.
Langkah itu diambil selepas kira-kira 3,000 tan metrik beras yang sudah dibayar didapati masih tersadai di stor Bernas kerana tidak diambil pemborong.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar, berkata keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana bekalan sebenarnya mencukupi.
“Saya minta mereka menyediakan keperluan logistik seperti lori untuk mengeluarkan beras yang telah ditempah. Saya tidak mahu perkara ini menjadi satu bentuk sabotaj oleh pemborong untuk menaikkan harga.
“Sebenarnya tiada kenaikan harga kerana subsidi masih kekal,” katanya.
Dalam masa sama, kementerian melaksanakan audit terhadap pemborong yang disyaki menyorok atau menyeludup beras subsidi.
“Ada pemborong yang kita syak terlibat, sebab itu audit dijalankan bagi mendapatkan bukti,” katanya.
Tindakan itu katanya, diambil susulan gangguan bekalan dan kegagalan beberapa pemborong hadir dalam sesi soal siasat.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda minimum RM50,000 dan hukuman penjara.
“Kita akan kuat kuasakan tanpa kompromi kerana ia menjejaskan kehidupan rakyat Sabah,” katanya.
Selain itu, kerajaan mengehadkan pembelian kepada dua kampit bagi setiap individu sebagai langkah mengawal bekalan.
Jamawi berkata, kerajaan komited memastikan stok simpanan beras negeri sentiasa mencukupi sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di ladang padi Trusan Sapi, di sini, kelmarin.
