Jika sampai masanya 40% belum dibayar, rakyatlah yang buat keputusan – Ewon

WhatsApp Image 2026 04 08 at 11.16.52

KOTA KINABALU: 8 April 2026 – Pendirian kita tetap sama. Isu ini telah berlarutan hampir 40 tahun dan biarlah rakyat Sabah menilai apabila tiba masanya – kata presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick yang menegaskan pendiriannya terhadap tuntutan 40% hasil Sabah kekal tidak berubah.

Beliau berkata, keputusan meletakkan jawatan dari Kabinet Persekutuan sebelum ini dibuat kerana tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Sabah.

Jelasnya, dua rayuan difailkan iaitu terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi dan permohonan menangguhkan pelaksanaan keputusan itu, yang kemudiannya dibenarkan Mahkamah Rayuan.

“Keputusan membenarkan penangguhan itu telah menjejaskan keputusan awal Mahkamah Tinggi,” katanya.

Ewon berkata, kerajaan negeri sebelum ini turut menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan tindakan rayuan, namun tetap menghormati proses mahkamah.

Katanya, rundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan perlu diteruskan sehingga mencapai keputusan muktamad.

“Pendirian kita tetap sama. Isu ini telah berlarutan hampir 40 tahun dan biarlah rakyat Sabah menilai apabila tiba masanya,” katanya.

Beliau menekankan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan dan tindakan mengemukakan dua rayuan perlu dinilai rakyat sekiranya tuntutan 40% itu masih belum dilaksanakan.

Ewon menegaskan bahawa UPKO konsisten menyuarakan pendirian itu di Kabinet Persekutuan, Parlimen, Dewan Undangan Negeri dan Kabinet Sabah.

“Kita akan terus konsisten menyatakan pendirian ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Sanjungan Budi Jabatan Keretapi Negeri Sabah, di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal