KOTA KINABALU: 6 April 2026 – Sabah Law Society memaklumkan bahawa Mahkamah Rayuan Malaysia hari ini membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Oktober 2025, berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
Keputusan itu disampaikan secara dalam talian menerusi prosiding Zoom, selaras dengan peruntukan Seksyen 44 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Mahkamah memutuskan bahawa ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan tersebut walaupun terdapat bantahan dari segi prosedur, dan mendapati wujud keadaan khas yang mewajarkan penangguhan sementara menunggu pelupusan rayuan.
Menurut mahkamah, tempoh masa yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini, iaitu 90 hari untuk semakan dan 180 hari untuk mencapai persetujuan mungkin tidak mencukupi untuk menentukan jumlah bayaran sebenar. Ini mengambil kira skop semakan yang melibatkan tempoh kewangan panjang dari tahun 1974 hingga 2021.
Mahkamah turut berpandangan bahawa pelaksanaan pembayaran dalam jumlah besar sebelum rayuan diputuskan boleh mewujudkan situasi “fait accompli”, sekali gus menjadikan rayuan tidak lagi bermakna serta menjejaskan integriti proses perundangan.
Dalam masa sama, mahkamah mengambil maklum bahawa pihak pemohon sedang mengambil langkah untuk mempercepatkan pendengaran rayuan tersebut.
Keputusan penangguhan ini bertujuan mengekalkan status quo sementara menunggu keputusan rayuan dan tidak menjejaskan dapatan Mahkamah Tinggi sebelum ini, termasuk penemuan bahawa semakan berkala tidak dilaksanakan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Sabah Law Society menegaskan bahawa keputusan ini bersifat prosedural dan isu perlembagaan utama, termasuk tafsiran serta pelaksanaan Perkara 112D, masih belum diputuskan dan akan ditentukan dalam prosiding rayuan akan datang.
Presidennya, Mohamed Nazim Maduarin, berkata pihaknya akan terus mengambil bahagian dalam prosiding serta bertindak selaras dengan undang-undang dan rekod mahkamah.
Sumbe : Sabah Law Society
