Wabak KHV Ancam Ikan Pelian di Sabah

photo 2026 04 06 11 36 48

KOTA KINABALU: 6 April 2026 – Kerajaan Negeri mengambil langkah tegas dan menyeluruh bagi menangani wabak kematian ikan pelian yang disahkan berpunca dari jangkitan Koi Herpesvirus (KHV), susulan kejadian yang dilaporkan sejak Ogos tahun lalu.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, insiden kematian besar-besaran itu melibatkan beberapa sungai utama di daerah Keningau, Tambunan, Tenom, Penampang, Tuaran, Ranau dan Sipitang, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kelestarian biodiversiti perairan darat Sabah.

Menurut beliau, hasil analisis makmal oleh Jabatan Perikanan Sabah mengesahkan KHV sebagai punca utama, iaitu virus patogen berbahaya yang menyerang ikan dari keluarga Cyprinidae dengan kadar kematian yang boleh mencecah antara 80 hingga 100 peratus.

“Virus ini aktif pada suhu air sekitar 18 hingga 28 darjah Celsius dan boleh menjadi lebih agresif apabila berlaku perubahan suhu secara mendadak. Ia juga mampu berada dalam keadaan laten sebelum aktif semula akibat tekanan persekitaran seperti musim kemarau,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menjelaskan bahawa penularan wabak dipercayai berpunca dari pelepasan ikan asing seperti ikan koi dan spesies Cyprinidae bukan endemik ke perairan umum tanpa kawalan, yang melanggar prinsip biosekuriti dan mengancam spesies tempatan, termasuk ikan pelian.

Sehubungan itu, kerajaan mengarahkan Jabatan Perikanan Sabah mengeluarkan pekeliling khas kepada semua daerah bagi melaksanakan langkah kawalan segera, termasuk mengesan dan menghapuskan ikan asing di kawasan tagal dan sungai mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Selain itu, larangan sementara turut dikenakan terhadap semua aktiviti import dan eksport ikan dari keluarga Cyprinidae ke Sabah, meliputi ikan hidup, benih dan induk, sehingga penilaian risiko biosekuriti selesai dilaksanakan.

Justeru, penguatkuasaan di bawah Enakmen Perikanan Darat Sabah akan diperkukuhkan, dengan tindakan undang-undang dikenakan terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi arahan atau terlibat dalam pelepasan ikan asing ke perairan umum.

Jamawi turut mengingatkan pengusaha akuakultur, penternak ikan hiasan dan orang awam supaya mematuhi sepenuhnya keperluan biosekuriti dan tidak membawa masuk atau melepaskan spesies ikan asing.

“Wabak ini merupakan ancaman serius yang boleh menyebabkan kehilangan kekal spesies ikan endemik seperti ikan pelian sekiranya tidak ditangani secara agresif dan bersepadu,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal