Belia Sabah beri amaran kepada Putrajaya isu hak 40%

Red Dark Gradient Sport Boxing Facebook Post 7

KOTA KINABALU : 02 April 2026 – Presiden dan Pengasas Diplobate International, Ryan Yong Zhe Jia, memberi amaran kepada Kerajaan Persekutuan agar menghentikan apa yang disifatkannya sebagai manipulasi perundangan berkaitan tuntutan 40% hasil bersih Sabah.

Beliau berkata, kegagalan berbuat demikian boleh mencetuskan penentangan lebih besar dari golongan belia yang kini semakin memahami isu diplomasi dan undang-undang.

Ryan turut menyifatkan tindakan Kerajaan Persekutuan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebagai penghinaan terhadap kedaulatan Sabah.

“Mahkamah Tinggi sudah mengesahkan secara hitam putih bahawa hak ini adalah mandatori. Dalam logik diplomatik dan perniagaan antarabangsa, memfailkan rayuan untuk mengelak dari membayar hutang yang sudah sah bukan satu hak undang-undang, tetapi ia adalah ‘Political Scamming’ (Penipuan Politik). Ia ibarat seorang penyewa yang merompak aset tuan rumah, kemudian menyaman tuan rumah tersebut kerana tidak mahu membayar sewa. Rayuan apa jadahnya? Adakah anda memohon lesen dari mahkamah untuk terus menipu rakyat Sabah?” tegas beliau.

Menurutnya, tuntutan berkenaan bukan bertujuan menuntut lebih dari yang sepatutnya, sebaliknya sekadar menegakkan hak Sabah seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kami tidak berminat untuk mengusik harta di Semenanjung. Kami hanya mahu apa yang milik Sabah dikembalikan. Itu sahaja. Putrajaya menggunakan hasil minyak dan cukai kami untuk bermegah di Kuala Lumpur, tetapi membiarkan anak-anak Sabah belajar dalam kegelapan dan melalui jalan raya yang hancur. Jangan gunakan retorik ‘Keluarga’ untuk menghalalkan penjajahan sumber. Jangan sesekali cuba menipu atau memandang rendah kebijaksanaan orang Sabah.”

Ryan berkata, menjelang keputusan mahkamah pada 6 April ini, semangat dalam kalangan belia Sabah semakin meningkat.

“Belia Sabah sudah bangkit. Kami adalah Diplobate yang celik data dan faham sejarah. Keadilan tidak boleh dibunuh kerana kebenaran itu abadi. Api kecil ini kini sudah menjadi kebakaran besar yang bakal menelan keangkuhan mereka yang zalim. Kami tidak mencari pasal, tetapi kami TIDAK AKAN SEKALI-KALI GENTAR menghadapi sebarang tekanan. Kami tidak takut pada masalah, dan kami tidak takut pada sebarang kemungkinan.

“Bayar hutang Sabah sekarang. Tempoh masa sudah tamat. Sabah tidak akan menunggu lagi,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal