KOTA KINABALU : 31 Mac 2026 – Anak Sabah, Ryan Yong Zhe Jia, mengorak langkah ke pentas antarabangsa dengan menganjurkan Diplobate International Strategic Chess Challenge 2026, sebuah kejohanan catur dalam talian yang bakal berlangsung pada 4 April ini.
Kejohanan inovatif ini menggabungkan elemen diplomasi, debat dan catur sebagai platform pembangunan belia antarabangsa.
Program yang berlangsung melalui Chess.com dan Google Meet itu dijadualkan bermula jam 5 petang (GMT+8) dan melibatkan 30 peserta terpilih dari pelbagai negara, merangkumi kategori pemula hingga pertengahan.
Diplobate, singkatan kepada diplomasi dan debat, diasaskan oleh Ryan dengan fokus membina kemahiran kepimpinan, pemikiran strategik dan jaringan global dalam kalangan belia.
Menurut Pengarah Urusan Diplobate Malaysia Affairs, Nik Haris Nik Zulkifli, pemilihan catur sebagai medium adalah selari dengan nilai diplomasi moden.

“Catur mengajar strategi, membuat keputusan di bawah tekanan dan menghormati lawan, yang penting dalam hubungan antarabangsa,” katanya.
Kejohanan ini menggunakan format Arena dengan kawalan masa 10 minit tanpa tambahan dan berlangsung selama satu jam 15 minit, dengan pemenang ditentukan melalui kedudukan akhir papan markah.
Tiga pemenang utama akan menerima hadiah wang tunai dan sijil khas, manakala peserta di kedudukan keempat hingga kesepuluh menerima sijil kecemerlangan. Semua peserta turut diberikan e-sijil penyertaan.
Penganjuran program ini diterajui oleh Diplobate Malaysia Affairs di bawah inisiatif Diplobate International, dengan Nik Haris Nik Zulkifli sebagai Pengarah dan Muhamad Afdal Abdul Rahim selaku Pengerusi kejohanan.
Pasukan penganjur turut melibatkan kerjasama antarabangsa, termasuk wakil dari Filipina dan Indonesia dalam pasukan teknikal.
Muhamad Afdal berkata penglibatan pelbagai negara dalam jawatankuasa penganjur mencerminkan semangat kerjasama global yang ingin diterapkan kepada peserta.

“Kami mahu belia melihat bahawa jaringan antarabangsa boleh dibina melalui kerjasama sebenar, bukan sekadar teori,” katanya.
Dari aspek persediaan, penganjur melaksanakan penyelarasan teknikal dan operasi termasuk penggunaan Chess.com sebagai platform rasmi pertandingan dan Google Meet untuk komunikasi peserta.
Ujian sistem dan simulasi turut dijalankan sebelum hari kejohanan dan pemantauan secara langsung akan dilakukan sepanjang pertandingan bagi memastikan kelancaran pelaksanaan.
Majlis pembukaan rasmi akan disempurnakan oleh ADUN Darau, Azhar Matussin, pada jam 4.45 petang melalui Google Meet sebelum pertandingan bermula.
