Abang tembak adik hingga maut, suspek ditembak polis

IMG 2371

TENOM: 31 mac 2026 – Seorang lelaki menembak adiknya sehingga maut sebelum pelaku ditembak polis dalam kejadian di Kampung Kangkawang, Jalan Kemabong, kelmarin.

Mangsa berusia 54 tahun disahkan meninggal dunia selepas ditembak 8 das tembakan di belakang badan dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi.

Abang mangsa yang berusia 57 tahun dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental menggunakan senjata buatan sendiri jenis bakakuk.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak, dilaporkan berkata, polis menerima maklumat pada jam 8.54 pagi sebelum bergegas ke lokasi.

“Suspek berada dalam rumah sambil memegang senjata api dan mengugut untuk menembak sesiapa yang menghampiri.

“Polis mengepung rumah dan mengarahkan suspek menyerah diri sebanyak tiga kali, namun dia enggan,” katanya.

Menurutnya, gas pemedih mata dilepaskan tetapi suspek masih tidak keluar.

“Situasi menjadi tegang apabila suspek mengacukan senjata ke arah anggota polis.

“Bagi mempertahankan diri, polis melepaskan tiga das tembakan dan suspek disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya.

Polis turut merampas senjata bakakuk, peluru, kelongsong peluru dan sebilah parang di tempat kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Sumber : harian metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal