Had RON95 200 liter mulai 1 April

IMG 2281

KUALA LUMPUR : 26 Mac 2026 — Kerajaan menetapkan had pembelian petrol RON95 sebanyak 200 liter sebulan bermula 1 April 2026, dengan hampir 90 peratus rakyat tidak terjejas.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, langkah itu dilaksanakan susulan peningkatan subsidi bahan api yang kini mencecah kira-kira RM4 bilion sebulan.

Menurutnya, jumlah subsidi sebelum ini sekitar RM3.2 bilion, namun meningkat dalam tempoh dua minggu akibat krisis tenaga global berpunca daripada konflik di Asia Barat.

Beliau berkata, kerajaan mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter bagi memastikan perlindungan kepada majoriti rakyat.

Dalam pada itu, had 800 liter sebulan bagi kenderaan e-hailing dikekalkan, manakala had pengisian diesel dilaksanakan secara sementara di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Kerajaan juga memperketat penguatkuasaan bagi mengekang ketirisan subsidi bahan api.

Katanya, langkah berkenaan penting bagi memastikan bekalan tenaga kekal stabil di samping mengekalkan keseimbangan fiskal negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal