KKM seru rakyat waspada susulan cuaca panas melampau

photo 2026 03 25 14 54 21

KUALA LUMPUR: 25 Mac 2026 – Keadaan cuaca panas yang melanda beberapa negeri kini berada pada tahap membimbangkan apabila suhu harian mencecah antara 35°C hingga 40°C, sekali gus mendorong pihak berkuasa kesihatan menggesa orang ramai agar lebih berwaspada.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan beberapa kawasan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Perlis berada pada Tahap Amaran 1 dengan suhu maksimum antara 35°C hingga 37°C selama sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Dalam masa sama, beberapa daerah di Kedah mencatatkan Tahap Amaran 2 apabila suhu melebihi 37°C hingga 40°C dalam tempoh yang sama, menunjukkan peningkatan risiko terhadap kesihatan awam.

Menurut KKM, cuaca panas berpanjangan boleh memberi kesan kepada kesihatan, bermula dari simptom ringan seperti sakit kepala dan keletihan sehingga kepada keadaan serius seperti kekejangan otot, dehidrasi, kekeliruan dan strok haba yang boleh membawa maut.

Golongan berisiko tinggi termasuk kanak-kanak, warga emas, individu dengan penyakit kronik dan mereka yang bekerja atau melakukan aktiviti di luar dalam tempoh lama.

Sehubungan itu, KKM menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko kesihatan sepanjang tempoh cuaca panas ini.

Sementara itu, keadaan cuaca di Sabah, khususnya di Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya di Sabah dilaporkan masih dalam keadaan terkawal dan tidak berada pada tahap amaran gelombang panas seperti di beberapa negeri di Semenanjung.

Walaupun begitu, orang ramai di Sabah tetap disarankan untuk mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Antara langkah yang digalakkan ialah memakai pakaian ringan dan berwarna cerah, kerap mandi untuk menyejukkan badan serta menghadkan aktiviti fizikal yang berat.

Langkah berjaga-jaga ini penting bagi mengelakkan kesan buruk cuaca panas yang dijangka berterusan, sekali gus memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang ramai sentiasa terpelihara.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal