TELUPID: 20 Mac 2026 – Bakat baharu dari Telupid, Alvein Dee Albenus, melangkah ke industri muzik tempatan dengan pelancaran single sulung berjudul “Oruol Ti Ginawoku”, sebuah karya yang sarat dengan emosi luka, kekecewaan dan kemarahan akibat pengkhianatan cinta.
Alvein, 33, yang berasal dari Kampung Telupid dan kini bertugas sebagai Penyelaras Projek Harmoni Manusia – Gajah Telupid, bukanlah nama asing di peringkat tempatan. Beliau sebelum ini mencipta nama sebagai juara pertandingan The Voice Telupid Musim Pertama, sekali gus membuka laluan kepada perjalanan seninya yang lebih serius.
Menurut Alvein, “Oruol Ti Ginawoku” mengangkat kisah seorang lelaki yang setia dalam percintaan, namun akhirnya dikhianati oleh insan yang dicintai. Naratif tersebut diterjemahkan melalui susunan melodi dan lirik yang menyentuh sisi emosi paling dalam, rasa sakit hati, marah dan kecewa.
“Lagu ini sangat peribadi dari segi emosi. Saya mahu pendengar benar-benar merasai apa yang saya cuba sampaikan,” katanya ketika ditemuramah.
Dari sudut produksi, lagu ini menampilkan kolaborasi beberapa penggiat seni tempatan. Ia dicipta oleh Roeynd Jr Robert, dengan sentuhan muzik dari NoobStudio, manakala proses rakaman dijalankan di TJC Studio. Video muzik (MV) pula diterbitkan oleh 10videoproductions, dibintangi oleh Quenses Eicka Chriesya Wong, Deborah Michel, Richard Martinus dan Melvin Jisli, serta dibantu kru produksi termasuk jurusolek Mua annawanah dan Arick Leong Wei Ping.
Mengulas potensi lagu tersebut, Alvein percaya “Oruol Ti Ginawoku” mempunyai kekuatan untuk dipertandingkan di mana-mana platform muzik, berdasarkan mesej dan emosi yang dibawakan.
Dalam masa sama, beliau menyimpan harapan agar single sulung ini menjadi titik permulaan kepada perjalanan muzik yang lebih luas.
“Saya berharap lagu ini dapat membuka jalan untuk saya terus menghasilkan karya yang jujur dan menyentuh hati, di samping menyumbang kepada perkembangan industri muzik tempatan,” ujarnya.
Setakat ini, “Oruol Ti Ginawoku” boleh didengarkan menerusi platform YouTube, sebagai langkah awal Alvein memperkenalkan identiti seninya kepada khalayak umum.
