KOTA KINABALU: 18 Mac 2026 — Bekalan beras di Sabah dijamin mencukupi dan stabil, dengan keupayaan menampung keperluan rakyat sehingga enam atau sembilan bulan, sekali gus meredakan kebimbangan susulan laporan kekurangan stok di beberapa kawasan pedalaman.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, stok simpanan beras negeri ketika ini mampu bertahan sehingga enam bulan, dan tempoh itu boleh dilanjutkan apabila digabungkan dengan stok perdagangan, pemborong dan bekalan beras tempatan.
Beliau berkata, penghantaran bekalan beras putih import (BPI) pada harga mampu milik telah diarahkan supaya disegerakan ke beberapa kawasan terjejas termasuk Keningau, Sook, Tenom, Kemabong dan Sipitang.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak panik kerana bekalan akan kembali pulih seperti sediakala,” katanya.
Sementara itu, hasil pemantauan oleh Lembaga Padi dan Beras Sabah bersama BERNAS di Pusat Simpanan Kolombong mendapati bekalan beras berada pada tahap stabil dan mencukupi.
Tinjauan terkini turut menunjukkan bekalan beras telah mula diedarkan ke kedai-kedai di Tenom, Kemabong, Sook dan Keningau, dengan sebanyak 53 tan beras direkodkan memasuki pasaran di Tenom melalui pengedar BERNAS.
Penggunaan beras bulanan di kawasan terlibat dianggarkan sebanyak 470 tan metrik, bersamaan kira-kira 16 tan sehari.
Setakat ini, sebanyak 15 peratus (70MT) daripada keperluan bulanan telah dihantar, sekali gus mengukuhkan jaminan bekalan beras yang stabil.
