PENAMPANG: 13 Mac 2026 – Penganjuran pertandingan Unduk Ngadau sempena Pesta Kaamatan tahun ini akan menampilkan pembaharuan dalam sistem penilaian bagi meningkatkan kualiti pemilihan peserta di peringkat negeri.
Pengerusi Unduk Ngadau Kaamatan 2026, Dr Mary Gambidau berkata, antara pembaharuan utama yang diperkenalkan ialah pelaksanaan penilaian pertandingan dalam dua peringkat.
Menurutnya, penilaian awal akan dijalankan sepanjang minggu Unduk Ngadau di hotel, manakala penilaian akhir akan diadakan seperti biasa pada 31 Mei sempena kemuncak sambutan Pesta Kaamatan.
“Kaedah ini bertujuan memberi ruang kepada para hakim menilai peserta dengan lebih teliti dari pelbagai aspek termasuk penampilan, pengetahuan budaya dan keperibadian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Taklimat Penyelarasan Unduk Ngadau 2026 yang diadakan di Dewan Tan Sri Pairin, dihadiri pengerusi dan penyelaras pertandingan Unduk Ngadau peringkat daerah dari seluruh Sabah.
Menurut Dr Mary, pertandingan Unduk Ngadau bukan sekadar pertandingan kecantikan, tetapi turut berperanan memelihara dan memartabatkan warisan budaya masyarakat Kadazan Dusun.
Katanya, melalui penyertaan dalam pertandingan itu, generasi muda berpeluang memahami keunikan pakaian tradisional, simbol serta makna budaya yang dibawa melalui busana tersebut.
Sementara itu, Hannevy W. Harry, Pegawai Daerah Kecil Tamparuli selaku penyelaras Unduk Ngadau gabungan Tuaran, Tamparuli dan Kiulu berkata persiapan penganjuran di daerah berkenaan dilakukan berdasarkan pengalaman lalu dan kolaborasi utama Hotel Shangri-La Rasa Ria Tuaran.
Menurutnya, penganjuran Unduk Ngadau di daerah tersebut sentiasa mendapat sambutan meriah masyarakat dan tahun ini beberapa pembaharuan turut dirancang termasuk pemilihan peserta di sebuah hotel di Tuaran sebelum pertandingan akhir diadakan di Dewan Sri Sulaman.
Di Kinabatangan pula, penyelaras daerah, Carlmagic Jr Ricky Masiawan berkata jawatankuasa baharu telah dibentuk bagi menghidupkan semula penganjuran Unduk Ngadau selepas daerah itu tidak menghantar wakil pada tahun lalu.
Menurutnya, usaha sedang giat dijalankan termasuk penyediaan pelan penganjuran, promosi kepada lebih 40 kampung dan kerjasama dengan pelbagai agensi bagi memeriahkan sambutan Pesta Kaamatan di daerah berkenaan.
Sementara itu, wakil penyelaras Unduk Ngadau Tambunan, Jean Ivy Denis berkata perancangan awal bersama pasukan jawatankuasa sedang dilakukan bagi memastikan penganjuran berjalan lancar dan mampu melahirkan peserta yang memenuhi standard pertandingan di peringkat negeri.
Kesemua penyelaras daerah turut menyuarakan harapan agar kerjasama erat antara peringkat daerah dan negeri dapat diperkukuh bagi memastikan pertandingan Unduk Ngadau 2026 terus menjadi platform memartabatkan warisan budaya masyarakat Sabah.
