PAPAR: 7 Mac 2026 – Projek strategik inisiatif Program Pembangunan Premis Tamu Desa, melibatkan peruntukan RM1 juta bakal dilaksanakan oleh UDA Holdings, dijangka memanfaatkan sekitar 20 usahawan mikro tempatan, sekaligus mengangkat martabat penjaja dan peniaga kecil di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad bin Alamin, pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Bazar Usahawan Masjid di Masjid Jamek Haji Said Derun, Kampung Malagui Kelatuan berkata, ini mencerminkan komitmen KUSKOP, dan kerjasama bersama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dalam penggunaan tanah wakaf juga menunjukkan sinergi antara agensi kerajaan dan institusi agama demi kesejahteraan komuniti.

“Saya mahu projek ini disegerakan agar komuniti usahawan kariah masjid dapat menikmati faedah pembangunan ini dengan lebih awal. Bagi memastikan kelestarian pengurusan, saya menyarankan penubuhan Koperasi Kariah Masjid untuk menguruskan bazar ini secara profesional dengan bimbingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa),” katanya.
Mohamad juga menyantuni golongan asnaf dengan menyampaikan sumbangan berbentuk wang berjumlah RM50 ribu untuk 500 orang asnaf.
Di majlis sama, 8 buah masjid dan 38 surau telah menerima sumbangan berjumlah RM84,000 dengan harapan sedikit dapat membantu pelaksanaan kegiatan pengimarahan masjid dan memperkasakan institusi dengan memastikan penyelenggaraan infrastruktur masjid atau surau sentiasa di tahap terbaik.
KUSKOP komited memperkukuh peranan strategik dalam membina ekosistem keusahawanan dan koperasi yang lebih dinamik, bagi memastikan komuniti usahawan dan gerakan koperasi kekal berdaya tahan serta mampu mendepani cabaran ekonomi masa hadapan.
Penganjuran program seumpama ini jelas mencerminkan komitmen kolektif KUSKOP bersama pelbagai agensi seperti Pusat Khidmat Kontraktor, SKM, TEKUN Nasional, Bank Rakyat, AIM, IKMA, INSKEN, SME Bank, SME Corp, PERNAS, UDA Holdings, ANGKASA dan Co-opbank Pertama dalam mendekati serta menyumbang bakti kepada komuniti setempat.
