TAMBUNAN: 28 Februari 2026 – Kerjasama strategik antara Sabah Credit Corporation dan AgriData diyakini mampu memperkukuh transformasi sektor pertanian negeri melalui pemodenan teknologi, pemerkasaan usahawan dan peningkatan keterjaminan makanan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, langkah itu yang dizahirkan menerusi Majlis Menandatangani Pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak serta perasmian pembukaan AgriSpark yang berlangsung hari ini, menjadi platform penting dalam memperluas kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan rakan industri bagi memodenkan sektor pertanian dan meningkatkan produktiviti tempatan.
“Kerjasama strategik ini mampu memberi impak positif khususnya dalam membuka peluang kepada lebih ramai anak muda mendapatkan garis panduan dan idea untuk menceburi sektor pertanian melalui kerjasama bersama AgriData,” katanya dalam ucapan perasmian.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Keningau dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tambunan, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan; Setiausaha Tetap MAFFI, Datuk Jumain Abdul Ghani; mantan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pinjaman Sabah, Datuk George Taitim Tulas; dan mantan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Jamawi berkata, kerjasama antara agensi kerajaan dan pemain industri penting bagi meningkatkan tahap sara diri negeri dengan mengurangkan kebergantungan kepada import serta memperkukuh pengeluaran hasil pertanian tempatan.
Katanya, tiga sumber utama yang mempunyai import paling tinggi iaitu, padi bawang, jagung (makanan ternakan) dan sayur-sayuran.
Jelasnya, penduduk Sabah menggunakan beras sebanyak 286,489 tan beras setahun berbanding hanya dapat menghasilkan 56,000 tan beras setahun. 230, 632 tan adalah beras import dari Vietnam. Kerajaan memperuntukkan RM80 juta subsidi diberikan kepada penanaman padi di Thailand dan Vietnam
“Oleh itu, Datuk Seri Panglima memberikan idea mewujudkan Lembaga Padi dan Beras (LPBS). Saya akan berusaha sehabis baik merealisasikan impian supaya meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) padi,” katanya.
Jamawi turut menegaskan kementeriannya komited menyokong transformasi pertanian tradisional kepada pertanian berasaskan teknologi bagi meningkatkan hasil tanaman serta memberikan pulangan lebih lumayan kepada petani.
Beliau berkata, penggunaan teknologi moden diyakini mampu mempercepat proses pemodenan sektor pertanian sekali gus meningkatkan daya saing industri tempatan di peringkat domestik dan antarabangsa.
Beliau berharap kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan AgriData dapat diteruskan bagi memastikan sektor pertanian Sabah berkembang secara mampan serta memberi manfaat kepada rakyat.
Jamawi berkata, sejak hari pertama menjawat jawatan menteri, kementeriannya memperkenalkan beberapa inisiatif utama bagi memperkukuh keterjaminan makanan dan meningkatkan penglibatan rakyat dalam sektor pertanian, antaranya inisiatif Program Kebun Dapur yang berkonsepkan penghasilan tanaman, perikanan dan ternakan berskala kecil mengikut kesesuaian kawasan serta kemampuan isi rumah.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan rakyat memperoleh sumber makanan asas termasuk protein secara lebih kendiri, sekali gus menyokong usaha memastikan bekalan makanan berterusan dan stabil.
Selain itu, Jamawi berkata, kementerian turut melaksanakan Program Mentor–Mentee Pertanian sebagai langkah mengenal pasti golongan muda yang aktif dalam bidang pertanian untuk membimbing generasi baharu menceburi sektor berkenaan.

Beliau turut memuji anak muda yang juga Mentor dalam program Mentor -Mentee, Matthew Johnny Kulai yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama Agridata yang memulakan penanaman sayur-sayuran seperti salad, tomato kristal, tomato ceri, tomato, timun jepun, strawberi dan lain-lain di situ.
