Kempen keselamatan Tahun Baru Cina 2026 JPJKK Sabah dan IPD Kota Kinabalu

photo 6100165986821541018 y

KOTA KINABALU: 18 Februari 2026 – Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Sabah dengan kerjasama IPD Kota Kinabalu menganjurkan Program Kempen Keselamatan sempena sambutan Tahun Baru Cina 2026 di Terminal Bas Inanam pada Selasa.

Program yang diketuai oleh Ketua JPJKK Sabah, SAC Datuk Mohd Azhar Hamin, dilaksanakan menerusi pendekatan High Profile Policing dan Walk About bagi mendekati masyarakat dan meningkatkan kesedaran keselamatan sepanjang musim perayaan.

Sepanjang kempen, pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyantuni pengguna pengangkutan awam selain mengedarkan risalah pencegahan jenayah dan memberi nasihat berkaitan jenayah harta benda, jenayah seksual, penipuan dalam talian, penyalahgunaan dadah dan keselamatan jalan raya.

Orang ramai turut diberi penerangan mengenai penggunaan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) dan QR Code Aduan Masyarakat bagi memudahkan penyaluran maklumat dan aduan terus kepada polis.

Selain itu, sesi libat urus bersama pengusaha tiket, pemandu dan konduktor bas diadakan dengan penekanan terhadap pematuhan undang-undang jalan raya, penjagaan kesihatan serta amalan pemanduan berhemah demi menjamin keselamatan penumpang.

Kempen itu diharap dapat memperkukuh kerjasama antara polis dan masyarakat sejajar slogan “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada.”

Sumber: Polis Daerah Kota Kinabalu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal