Ladang Nabawan catat rekod agih hampir RM1 juta dividen kepada peneroka

Ladang Nabawan2

NABAWAN: 11 Februari 2025 – Ladang Nabawan Wilayah Barat mencatat rekod tertinggi sejak 2022 apabila mengagihkan hampir RM965,342 dividen kepada 175 peserta peneroka, bersamaan kira-kira RM5,516 seorang, hasil prestasi pengeluaran memberangsangkan sepanjang tahun lalu.

Agihan dividen itu sekali gus menjadi yang tertinggi dalam sejarah ladang berkenaan sejak ia mula diusahakan pada 2013 hingga 2015 melibatkan keluasan keseluruhan 441 hektar.

Pada 2025, Ladang Nabawan berjaya menghasilkan sebanyak 5,599 tan buah, sekali gus membuktikan keberkesanan pengurusan ladang dan komitmen berterusan semua pihak termasuk peneroka, pekerja dan penyelaras.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin, berkata dividen yang diterima bukan sekadar pulangan kewangan, malah melambangkan kepercayaan dan kerjasama erat antara pengurusan dan peneroka.

“Dividen ini adalah hasil kerja keras dan komitmen semua pihak. Ia membuktikan bahawa usaha bersama mampu menghasilkan pulangan yang boleh dinikmati secara adil oleh peneroka,” katanya ketika berucap pada majlis simbolik penyerahan dividen, di sini, semalam.

Sementara itu, Pengurus Besar LKTNS, Datuk Syaheddrul R Joddari, berkata kejayaan itu turut mencerminkan keberkesanan strategi pembangunan ladang secara bersepadu yang dilaksanakan pihaknya.

“Kami berbangga dengan dedikasi para peneroka dan seluruh pasukan ladang. Kejayaan ini menunjukkan kerjasama erat dan perancangan tersusun mampu memberikan manfaat maksimum kepada komuniti ladang,” katanya.

Beliau turut mengakui Ladang Nabawan berdepan pelbagai cabaran termasuk cuaca ekstrem serta kekangan peralatan, namun pencapaian dividen hampir RM1 juta itu membuktikan ketahanan dan keupayaan semua pihak dalam memastikan kelangsungan dan kejayaan pembangunan ladang.

Majlis berkenaan turut dihadiri barisan pengurusan kanan LKTNS, pengurus ladang, penyelaras dan tetamu jemputan dari Wilayah Barat.

“Dividen yang diagihkan diharap dapat membantu peneroka membuat persiapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri, selain meningkatkan kesejahteraan keluarga dan ekonomi komuniti setempat”, kata Syaheddrul.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal