Mekanik Cedera Akibat Kaki Dilastik Besi di Tawau

photo 2026 02 10 15 53 30

TAWAU: 10 Februari 2026 – Seorang mekanik mengalami kecederaan serius selepas kaki kirinya dilastik menggunakan besi halus sehingga menembusi kakinya kerana tidak mahu membaiki motosikal tanpa bayaran dalam kejadian di Kampung Kongsi 8, Tawau.

Mangsa kemudiannya dibawa ke hospital untuk menjalani pembedahan akibat kecederaan yang dialami.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes mendatangkan cedera menggunakan senjata dan ugutan jenayah.

“Susulan laporan diterima, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun di lokasi kejadian,” katanya.

Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai 11 rekod lampau berkaitan pelbagai kesalahan jenayah dan dadah, termasuk pernah ditahan dan dijatuhi hukuman.

Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera menggunakan senjata dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Sumber:Polis Daerah Tawau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal