KOTA KINABALU : 6 FEBRUARI 2026 — Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah menahan seramai 86 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam beberapa operasi penguatkuasaan yang dijalankan di sekitar Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Tawau dari 4 hingga 6 Februari lalu.
Operasi itu dilaksanakan oleh Unit Operasi Bahagian Penguatkuasa JIM Sabah melibatkan pemeriksaan 333 orang dari pelbagai kewarganegaraan.
Dalam operasi di Kota Kinabalu, seramai 56 PATI ditahan, manakala 27 PATI lagi ditahan dalam operasi berasingan di Lahad Datu.
Selain itu, Unit Penguatkuasa JIM Tawau turut melaksanakan Ops Serkap (ATIPSOM) pada 6 Februari lalu, dengan tiga PATI warganegara Indonesia ditahan hasil pemeriksaan terhadap lima individu.
Hasil pemeriksaan mendapati kesemua PATI yang ditahan terdiri dari 21 lelaki dewasa, 41 wanita dewasa, 12 kanak-kanak lelaki dan sembilan kanak-kanak perempuan warganegara Filipina, serta dua lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa warganegara Indonesia.
Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah.
JIM Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.
