Liew bergambar kenangan bersama UMS selepas menyampaikan sumbangan Dapur Siswa UMS.
KOTA KINABALU, 3 Februari 2026 – Kumpulan Desa (Desa Group of Companies) hari ini menunjukkan komitmen mereka terhadap kebajikan pelajar kurang berkemampuan dengan menyalurkan sumbangan bekalan makanan kepada Program Dapur Siswa di Kolej Kediaman Tun Fuad, Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Sumbangan itu bertujuan untuk membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi pelajar, terutamanya mereka yang berasal dari kawasan luar bandar.
Pengerusi Kumpulan Desa, Tan Sri Liew Yun Fah, menjelaskan bahawa inisiatif itu mencerminkan keprihatinan syarikat terhadap golongan yang memerlukan.

Liew bersama Samsiah memasak sambil menyiapkan makanan Dapur Siswa UMS.
“Program Dapur Siswa yang diperkenalkan UMS ini sangat bermanfaat. Sumbangan Desa Group diharap dapat memastikan pelajar mendapat bekalan makanan harian mereka dengan lebih mudah,” katanya ketika ditemui di kolej kediaman berkenaan hari ini
Beliau turut menekankan fleksibiliti yang disediakan oleh program ini, di mana pelajar dibenarkan membawa bahan mentah sendiri sebagai lauk tambahan sekiranya berkemampuan atau mempunyai keperluan khusus.
“Langkah ini memberi fleksibiliti kepada pelajar untuk menyesuaikan hidangan mengikut citarasa dan keperluan masing-masing,” jelasnya.
Beliau seterusnya menambah bahawa kerjasama antara GLC negeri dan institusi pengajian tinggi seperti UMS merupakan contoh usaha proaktif dalam menyokong kesejahteraan pelajar dan memperkukuh hubungan antara sektor korporat dan pendidikan.
“Sebagai sebuah syarikat milik kerajaan negeri, kami merasakan tanggungjawab untuk memastikan pelajar yang kurang berkemampuan tidak terpinggir. Program sebegini adalah platform yang tepat untuk menyumbang dan memberikan impak positif,” katanya.

Liew menyampaikan sumbangan bekalan makanan kepada pelajar
Program Dapur Siswa kini menjadi salah satu inisiatif utama UMS dalam menyediakan bantuan makanan harian kepada pelajar di kolej kediaman, khususnya bagi mereka yang datang dari luar bandar dan menghadapi cabaran kewangan.
Majlis penyerahan sumbangan tersebut turut disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof Dr Raman Noordin, yang menyambut baik inisiatif Kumpulan Desa dan menyifatkannya sebagai satu bentuk sokongan yang amat bernilai kepada pelajar UMS.
