KUALA LUMPUR: 29 Januari 2026 — Warga asing tidak dibenarkan membeli minyak masak paket bersubsidi mulai 1 Mac, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata larangan itu akan diwarta mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Menurutnya, peruntukan undang-undang berkenaan akan dirujuk terlebih dahulu kepada Jabatan Peguam Negara sebelum dikuatkuasakan.
“Dengan adanya larangan ini, kami dapat memastikan subsidi minyak masak benar-benar dimanfaatkan oleh warganegara dan tidak dibuka ruang kepada warga asing,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Parlimen.
Selain itu, Armizan memaklumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi membolehkan pembelian minyak masak bersubsidi menggunakan platform MyKasih.
“Mungkin selepas ini, dengan hanya mengimbas kad pengenalan, pengguna boleh membeli minyak masak paket tanpa perlu menggunakan aplikasi eCOSS,” jelas beliau.
Mengulas keberkesanan sistem eCOSS, Armizan berkata sejak pelaksanaannya pada Mei 2025, sebanyak 20,361,432 paket minyak masak bersubsidi telah dijual.
“Sekurang-kurangnya kami sudah mempunyai data mengenai siapa yang membeli minyak masak paket ini dalam kalangan warganegara, dan hala tuju program juga dapat ditentukan berdasarkan keputusan berasaskan data. Itulah matlamat kami,” katanya.
