Tafsiran tidak tepat MA63 dalam Isu Minyak boleh gugat asas Malaysia – MP Ranau

WhatsApp Image 2026 01 28 at 15.28.24

KUALA LUMPUR: 28 Januari 2026 — Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yassin, menyifatkan tafsiran terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkaitan isu pemilikan dan kawalan sumber minyak dan gas sebagai tidak tepat, dan memberi amaran bahawa perkara itu boleh menjadi titik akhir kepada asas pembentukan negara Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said, yang menyatakan MA63 tidak menyentuh isu pemilikan atau kawal selia minyak dan gas, termasuk melibatkan PETRONAS dan PETROS, sebaliknya hanya menetapkan asas pembentukan Malaysia dan hak autonomi tertentu bagi Sabah dan Sarawak.

Menurut Jonathan, tafsiran sedemikian menimbulkan persoalan besar kerana tidak pernah wujud sebarang persetujuan semasa pembentukan Malaysia yang menyatakan bahawa sumber minyak dan gas di Sabah dan Sarawak diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk dikawal sepenuhnya, termasuk melalui Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) yang digubal selepas 1963.

“Saya ingin bertanya secara jujur kepada semua Ahli Parlimen dari Semenanjung, termasuk kerajaan hari ini, adakah pada tahun 1963 pernah dipersetujui bahawa minyak di Sabah dan Sarawak akan menjadi milik Kerajaan Persekutuan sepenuhnya?” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau turut mencabar mana-mana pihak untuk mengemukakan bukti rasmi sekiranya persetujuan tersebut pernah dibuat.

“Jika ada minit mesyuarat, sila tunjukkan. Siapakah pemimpin Sabah atau Sarawak yang bersetuju menyerahkan minyak itu? Setahu saya, perkara ini tidak pernah berlaku,” tegasnya.

Mengulas perkembangan semasa, Jonathan berkata pertikaian yang sedang berlaku antara Sarawak dan PETRONAS ketika ini mempunyai persamaan dari segi fakta dan data dengan situasi yang dihadapi oleh Sabah.

“Apa yang sedang berlaku antara Sarawak dan PETRONAS pada masa ini adalah satu pertikaian, tetapi fakta dan datanya hampir sama dan keadaan itu juga terpakai kepada Sabah berdasarkan apa yang saya lihat,” katanya.

Jonathan menegaskan bahawa berdasarkan Laporan Suruhanjaya Cobbold, laporan antara kerajaan dan MA63, kuasa terhadap tanah dan sumber asli diletakkan di bawah bidang kuasa kerajaan Sabah dan Sarawak pada masa pembentukan Malaysia.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan mengapa sehingga kini seolah-olah hak tersebut tidak diiktiraf, dan sumber minyak dianggap sepenuhnya dikawal oleh Kerajaan Persekutuan, walaupun tiada peruntukan jelas dalam MA63 yang menyokong tafsiran berkenaan.

“Jika inilah pendirian yang terus dipegang, saya melihatnya sebagai titik akhir kepada asas pembentukan negara Malaysia itu sendiri,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal