TSFF 2026 Perkukuh Sabah Sebagai Destinasi Pelancongan Gastronomi

photo 6312181124628680196 y

KOTA KINABALU: 23 Januari 2026 – The Signature Food Fest (TSFF) 2026 terus menegaskan peranannya sebagai pemacu utama pelancongan gastronomi Sabah dengan menggabungkan pengalaman kulinari autentik serta warisan dan budaya tempatan, menjadikannya platform penting untuk mempromosikan identiti kulinari negeri ke peringkat serantau.

Bagi memperkukuhkan usaha tersebut, MediaCraft Marketing selaku penganjur TSFF telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Julinus Jimit, sekali gus mengesahkan komitmen bersama untuk meletakkan Sabah sebagai destinasi gastronomi utama di Asia Tenggara.

Lawatan berkenaan diketuai oleh Pengarah Projek TSFF merangkap Ketua Pengarang Majalah FAVSTYLE, Alfred Allen Ginsos, bersama barisan tokoh industri makanan Sabah yang sedang berkembang. Turut hadir Profesor Adjung Jessie Jong Chung Jin (A.S.D.K), Penasihat PKS TSFF, Rory Richardson, Hakim Tetap TSFF, Erick Teh, Pengurus Wilayah (Malaysia Timur) Kitchen Shop selaku Penaja Emas TSFF, serta Andrew Lee CK dan Lainie Lamau, Pengasas Bersama Urban Tamu dan So Good Market yang juga Penganjur Bersama Tempat TSFF.

Dalam pertemuan tersebut, pasukan TSFF membentangkan rangka kerja, visi dan strategi edisi ke-5 festival ini, yang bukan sekadar acara makanan tetapi juga platform budaya yang meraikan kepelbagaian rasa, warisan dan identiti kulinari Sabah sambil menumpukan kepada pemerkasaan cef tempatan, pengusaha restoran dan usahawan makanan serta menawarkan pengalaman gastronomi autentik kepada pelancong.

Gabungan konsep makanan jalanan, hidangan istimewa dan lokasi unik menjadikan setiap hidangan medium penceritaan budaya dan sejarah Sabah, sekaligus membuktikan bagaimana TSFF menggunakan gastronomi untuk mengangkat pelancongan berasaskan pengalaman sambil mempromosikan warisan negeri.

Sidang media TSFF 2026 dijadualkan berlangsung pada 29 April 2026 di Restoran E West, diikuti Pameran Istimewa hujung minggu pembukaan pada 1 hingga 3 Mei di Riverson The Walk, manakala Majlis Pembukaan Rasmi pula akan diadakan pada 2 Mei 2026 jam 2.00 petang dengan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah sebagai Tetamu Kehormat.

Festival ini akan berlangsung selama 31 hari, bermula 1 hingga 31 Mei 2026, melibatkan pelbagai lokasi makanan terpilih dan Sebanyak 10,000 naskhah Buku Panduan The Signature Food Fest akan dicetak dan diedarkan kepada orang ramai, merangkumi penyertaan restoran serta kempen Makan, Menang &Undi.

Sepanjang festival, panel juri yang dilantik akan mengadakan lawatan penilaian ke premis peserta, sebelum acara kemuncak Malam Anugerah Khas TSFF 2026 pada 5 Jun 2026 di Grandis Hotels & Resorts, yang menyaksikan lebih 17 anugerah khas disampaikan.

Edisi ke-5 TSFF akan menampilkan lebih 20 peserta yang merangkumi empat kategori utama iaitu restoran, bistro, kafe dan hotel dengan TVSabah sebagai Rakan Kongsi TV Digital Rasmi serta Majalah FAVSTYLE sebagai Majalah Cetak dan Digital Rasmi, liputan festival dijangka meluas ke peringkat tempatan dan antarabangsa.

Seiring peningkatan minat terhadap pelancongan berasaskan pengalaman, TSFF 2026 terus menjadi contoh bagaimana gastronomi mampu memperkukuh penjenamaan Sabah sebagai destinasi pelancongan yang autentik, berbudaya dan berdaya saing.

Maklumat lanjut mengenai aktiviti festival, cabutan bertuah, penaja serta restoran yang mengambil bahagian boleh didapati di www.signaturefoodfest.com.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal