KOTA KINABALU: 21 Februari 2026 – STAR Sabah menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkaitan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang disifatkan sebagai jelas dan bertepatan.
Ketua Penerangan STAR Sabah, Anuar Ghani Gilong, melihat peringatan Seri Paduka Baginda bahawa MA63 perlu terus menjadi asas perpaduan dan keadilan dalam Persekutuan sebagai mesej penting bagi keharmonian negara, keadilan wilayah dan kestabilan politik.
“Perjanjian Malaysia 1963 menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara yang berpaksikan perpaduan, saling menghormati serta kerjasama erat antara negeri-negeri dan Kerajaan Persekutuan,” tegas Yang di-Pertuan Agong semasa Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15, 19 Januari lalu.
Menurutnya, hak-hak Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam MA63 bukan bersifat memecahbelahkan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada persetujuan asal pembentukan Malaysia dan wajar dihormati oleh semua pihak.
STAR Sabah turut menyokong seruan Seri Paduka Baginda agar wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak memainkan peranan secara membina dalam mempertahankan hak negeri melalui saluran Perlembagaan, perundingan dan persefahaman.
Anuar turut mengaitkan pendirian itu dengan perjuangan berterusan Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan, yang sejak sekian lama menekankan pemulihan hak Sabah di bawah MA63, termasuk tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan, peluasan autonomi negeri serta pengiktirafan Sabah sebagai rakan setara dalam Persekutuan.
Pendekatan tersebut berlandaskan Perlembagaan dan semangat federalisme, selari dengan peringatan Yang di-Pertuan Agong agar perbezaan pandangan diurus secara berhemah dan tidak dieksploitasi sehingga menimbulkan sentimen wilayah, katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa perpaduan dan kedaulatan negara hanya dapat diperkukuh melalui sikap saling menghormati, kefahaman terhadap autonomi negeri serta kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Jelasnya, STAR Sabah akan terus komited mempertahankan MA63 demi keadilan wilayah, kesejahteraan rakyat dan masa depan Persekutuan yang stabil.
Sumber : The Star
