Chunk & Dunk Manila, cawangan antarabangsa yang pertama

Gambar Adam Shamil Bersama Lester Dan Hazel

KOTA KINABALU: 8 Januari 2025 – Jenama sajian manisan kelahiran Sabah, Chunk & Dunk, mencipta sejarah apabila diumumkan bakal membuka cawangan antarabangsa pertamanya di Manila, Filipina pada April 2026, sekali gus mengangkat jenama tempatan itu ke pentas global.

Pengasas Chunk & Dunk, Adam Shamil menyifatkan pembukaan cawangan di Manila bukan sahaja menandakan pencapaian penting bagi Chunk & Dunk, malah menjadi simbol kejayaan jenama tempatan Sabah menembusi industri makanan dan minuman serantau yang semakin berdaya saing.

Katanya, Filipina dikenal pasti sebagai pasaran strategik berikutan kecenderungan masyarakatnya terhadap sajian manis, selari dengan konsep dan identiti produk Chunk & Dunk.

Jelasnya, faktor keserasian visi serta komitmen rakan strategik tempatan turut mempercepatkan keputusan untuk membawa jenama itu ke luar negara.

“Perkembangan ini direalisasikan menerusi kerjasama strategik bersama Golden Forest Ventures OPC yang diterajui oleh Lester Lim, dan cawangan Chunk & Dunk Filipina dijangka mula beroperasi pada April 2026, manakala majlis menandatangani perjanjian rasmi bersama rakan strategik dijadualkan berlangsung pada Mac 2026, dengan tarikh dan lokasi akan diumumkan kelak,” katanya.

Gambar Adam Tandatangan

Menurutnya, kejayaan peluasan antarabangsa itu bermula melalui pertemuan ringkas yang tidak dirancang di Kota Kinabalu pada April 2025 ketika pasangan dari Filipina, Lester dan Hazel, singgah ke cawangan Chunk & Dunk di Imago Shopping Mall, yang kemudiannya berkembang dan dimuktamadkan dalam tempoh lapan bulan.

Ketika ditanya mengenai pembukaan cawangan di semenjung Malaysia, Adam berkata, “Peluang peluasan ke pasaran Semenanjung pernah dipertimbangkan, namun ditangguhkan berikutan kekangan operasi termasuk ketiadaan pusat pemprosesan utama dan keperluan menstabilkan operasi cawangan sedia ada di Sabah.”

Bagaimanapun, Adam menambah, tahun 2025 menyaksikan penstrukturan semula operasi yang lebih kukuh, sekali gus membuka laluan kepada pengembangan ke skala pasaran yang lebih luas, termasuk peluasan sehingga ke peringkat global.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal