Pelajar KV Keningau Terbit Kajian Ilmiah di Jurnal Kebangsaan

photo 2025 12 22 09 13 19

KENINGAU: Lovelina Lim, pelajar tahun keempat seni kulinari Kolej Vokasional (KV) Keningau, telah berjaya menerbitkan artikel kajian ilmiah projek tahun akhirnya di sebuah jurnal akademik kebangsaan yang dikeluarkan oleh Kolej Komuniti Raub yang berjudul “e-Bicara Ilmiah” pada 15 Disember 2025.

Sebanyak 29 artikel dalam Bahasa Melayu dan Inggeris dalam pelbagai bidang daripada beberapa institut pendidikan di negara ini telah dikompilasikan dalam jurnal ilmiah tersebut yang merupakan edisi pertama penerbitan kolej komuniti ini.

Guru pembimbing pelajar ini iaitu Erma Gagah dan Helen Tuah yang mengajar subjek seni kulinari merupakan penulis bersama kajian ini yang bertajuk “Sago flour as an alternative in creating gluten-free traditional fritters”. Lovelina merupakan penulis utama artikel ini yang ditulis dalam bahasa Inggeris.

Pelajar ini mengambil keputusan untuk membuat snek bersambal menggunakan sagu sebagai bahan adunan menggantikan tepung gandum kerana ianya merupakan satu pilihan yang lebih sihat memandangkan ianya mengandungi kanji yang tinggi dan bebas dari gluten.

Selain itu, Malaysia merupakan salah satu pengeluar terbesar sagu di dunia namun penggunaan bahan ini dalam bidang makanan masih lagi terhad. Pelajar ini telah berjaya melaksanakan tinjauan kajian terhadap 173 responden yang menjawab soal-selidik berskala Likert lima mata setelah merasa sampel produk tersebut.

Dia menganalisis data tersebut dengan menggunakan ujian statistik One-Way ANOVA untuk mengenalpasti konsistensi penilaian kesemua responden terhadap produk itu dan Pearson Correlation untuk menentukan hubung kait kriteria penilaian berasaskan deria (rasa, aroma, tekstur, bentuk) dengan kepuasaan menyeluruh responden terhadap produk makanan ini.

Dapatan kajian menunjukkan penerimaan responden yang baik terhadap produk ini kerana penilaian terhadap kesemua kriteria adalah konsisten di kalangan responden dan terdapat hubung kait yang positif di antara kriteria penilaian deria dengan kepuasan menyeluruh responden terutamanya kriteria aroma.

Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang, memuji usaha pelajar ini dan berterima kasih kepada guru-guru pembimbing kerana perlaksanaan, penulisan dan penerbitan kajian berdasarkan hasil kerja pelajar seperti projek tahun akhir merupakan satu pencapaian yang melambangkan kemenjadian pelajar kolej vokasional berkelulusan diploma dan membantu membuka lebih banyak peluang bagi golongan pelajar jurusan vokasional.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal