KOTA KINABALU: 16 Disember 2025 – ADUN Tambunan, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mencadangkan Kerajaan Sabah tubuh satu Jawatankuasa Khas Kabinet MA63 yang dianggotai oleh Yang Berhormat-Yang Berhormat bipartisan, iaitu dari pihak Kerajaan dan pihak Pembangkang.
Jeffrey berkata, rundingan MA63 kini memuncak dan perkara-perkara yang akan dirundingkan seterusnya merupakan perkara yang teramat penting untuk Sabah dan rakyat Sabah seperti hakmilik minyak dan gas, bayaran royalti minyak, isu pelantar benua dan sempadan Sabah, Akta Laut Wilayah 2012, pungutan hasil berasaskan setem duti ke atas hartanah Sabah serta rundingan Hasil Pemberian Khas 40% dan 35% kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak sebagai kuasa veto, dan perlindungan berpelembagaan atau constitutional safeguard untuk Sabah dan Sarawak – untuk menghalang apa-apa pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh hak Sabah Sarawak.
Beliau mencadangkan Kerajaan Sabah mengambil pendekatan baharu dengan pro-aktif tanpa bergantung kepada SPR dalam isu 35% kerusi Parlimen perlindungan berperlembagaan Sabah Sarawak.
”Pertama, untuk 35%, hanya minta pindaan Perlembagaan dengan menambah syarat bahawa Sabah Sarawak akan memegang 35% bilangan kerusi Parlimen. Ini akan membenarkan Sabah Sarawak kekal dengan 35% kerusi Parlimen tanpa kira berapa jumlah kerusi ditambah. Asalkan ditambah, Sabah Sarawak kekal dengan 35% bilangan kerusi.
“Kedua, seperti Sarawak, Kerajaan dan Dewan Undangan Sabah harus mengambil tindakan dengan melantik satu Jawatankuasa untuk mengkaji dan mengesyorkan persempadanan Kerusi Dewan Undangan Sabah. Sabah sendiri menentukan di mana akan ada kerusi Dewan Undangan Sabah. Dengan kajian dan Cadangan persempadanan kerusi Dewan Undangan Sabah, Sabah akan bersedia dengan kawasan-kawasan Sabah yang bakal dijadikan sebagai Kawasan Parlimen yang baru,” katanya.
Jeffrey dengan tegas berkata, “Selain itu, beberapa isu-isu lain adalah hak mutlak Sabah dan tidak boleh dirundingkan dan tidak boleh dikompromi, dengan izin, they are not negotiable. Jika pelantar benua atau continental shelf dimiliki Sabah seperti “The Extension of Boundaries (North Borneo) Order in Council 1954” dan Artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan berkuatkuasa dan hak mutlak Sabah, maka ia bermakna segala minyak dan gas di pelantar benua Sabah dimilikki sepenuhnya oleh Sabah dan bukan Petronas!”
Terlebih dahulu, dalam perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Undangan Sabah, beliau menyentuh Hak 40% Sabah dan menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah menyelesaikan jumlah yang harus dikembalikan dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
Menurut Jeffrey, hasil sebenar Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan mungkin melebihi RM30 bilion dengan mengambil kira Hasil Sekarang RM6.43 bilion; Pemberian Khas 40% di bawah Artikel 112C dan 112D boleh mencecah RM20 bilion; Duti Import dan Eksais atas bahan petroleum di bawah Item 1 Bahagian V Jadual Ke-10 menyumbang lebih RM1.0 bilion berbanding hanya RM120 setakat ini; dan Duti Ekspot ke atas minyak mentah sehingga 10% nilai valorem di bawah Item 3 Bahagian V Jadual Ke-10 – boleh menyumbang RM3.6 bilion setahun.
Jelasnya, pada 17hb Oktober 2025, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah memutuskan bahawa Sabah berhak dikembalikan 40% hasil yang diperolehi oleh Persekutuan dari Sabah dan bahawa Kerajaan Sabah dan Pereekutuan telah gagal melaksanakan hak kewangan Sabah termasuk semakan mandatori sejak 1974.
Katanya, menurut kenyataan YAB Perdana Menteri pada 2024, Kerajaan Pusat telah mengutip RM10.2 bilion di Sabah pada tahun 2023, dengan pungutan Kastam Sabah sebanyak RM700 juta, namun angka sebenar yang dipungut oleh Kastam ialah RM2.0 bilion.
Justeru katanya, kelebihan RM1.3 bilion dicampur kepada RM10.2, memberi jumlah RM11.5 bilion. 40% daripadanya ialah RM4.6 juta iaitu satu jumlah minima yang perlu ditambah kepada Belanjawan 2026 oleh Menteri Kewangan.
Menurut Jeffrey, RM4.6 bilion itu belum termasuk pungutan Kerajaan Pusat dari Syarikat minyak antarabangsa, Petronas, Shell, Petron, dan yang lain-lain; gergasi-gergasi ladang sawit yang beroperasi di Sabah seperti FGV, Felda, IOI, KL-Kepong, IJM, Sime Darby dan lain-lain – yang beroperasi dan mengaut keuntungan dari Sabah tetapi membayar cukai di Malaya. Jabatan-jabatan dan Agensi-agensi Kerajaan Pusat juga memungut hasil di Sabah antaranya JPJ, Imigresen dan JPN.
Sehubungan dengan itu Jeffrey berkata, untuk menjaminkan pungutan dan pengambilan Hasil 40% tersebut, Kerajaan Sabah perlu mengemukakan satu mekanisme baru untuk memungut Hasil yang diperolehi oleh Persekutuan dari Sabah, dan pengagihannya berdasarkan nisbah 60%:40%.
“Sambil menunggu mekanisma baru tersebut, saya mencadangkan bahawa segala pungut yang dibuat oleh Persekutuan dimasukkan ke dalam satu Akaun Yang Disatukan atau Consolidated Account in Sabah Dimana 40% akan dikeluarkan dan diagihkan kepada Kerajaan Sabah mengikut Artikel 112C dan 112D Perlembagaan.
“Untuk tunggakan yang dikatakan “THE LOST YEARS” dari 1974 hingga 2021, rundingan boleh diteruskan sehingga satu jumlah yang mencerminkan pungutan 40% yang sebenar dipersetujui. Jika perlu, Kerajaan Pusat boleh membayar sebahagiannya melalui pindahmilik aset-aset Persekutuan kepada Kerajaan Sabah,” katanya.
Menurut Jeffrey, salah satu kelemahan Sabah tidak dapat menerima hak kewangannya adalah pemimpin-pemimpin Sabah yang tidak jujur dan tidak berani melaksanakan hak kewangan Sabah yang Bapak-bapak Kemerdekaan Sabah pada 1963 semasa MA63 telah memaktubkan hak-hak kewangan tersebut dalam Perlembagaan, demi menjaminkan kemakmuran Sabah dan menafaat rakyat Sabah dalam Malaysia. Susulan itu Sabah digelar termiskin kerana dimiskinkan dan dianaktirikan dengan sebahagian besar disumbangkan oleh para pemimpin Sabah sendiri.
Tambahnya, Khazanah sumber asli Sabah termasuk minyak dan gas, konservasi karbon, ekonomi hijau dan biru, dan pelbagai mineral nadir bumi boleh melonjakkan ekonomi Sabah setanding bukan sahaja dengan Sarawak tetapi dengan Singapura yang langsung tiada sumber asli, minyak dan gas, malah air bersih pun tidak mencukupi.
“Apa yang Singapura ada adalah pentadbiran dan pengurustadbiran yang telus, professional dan anti-rasuah,” tegasnya.
