Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah Berlangsung Empat Hari

photo 2025 12 15 12 30 44

KOTA KINABALU: 14 Disember 2025 – Sambutan Krismas Peringkat Negeri Sabah 2025, anjuran Kerajaan Sabah akan berlangsung selama empat hari, bermula 16 hingga 19 Disember di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, bertemakan “Hope For Peace In Love” atau “Pengharapan Damai Dalam Kasih.”

Timbalan Ketua Menteri III / Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, selaku Pengerusi Induk sambutan Krismas, Datuk Ewon Benedick, berkata penganjuran bersama SCC mencerminkan komitmen Kerajaan Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri dalam menyokong sambutan perayaan keagamaan serta memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.

Menurutnya, sambutan itu dianggap bersejarah kerana ia diangkat sebagai acara peringkat negeri buat pertama kali hasil kerjasama antara Sabah Council of Churches (SCC) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), selepas dipersetujui dalam Mesyuarat Kabinet Negeri awal Disember lalu.

photo 2025 12 15 12 30 53
Sumber: Jabatan Penerangan Malaysia

Selain itu katanya, Kerajaan Sabah turut menjemput seluruh rakyat Sabah hadir memeriahkan sambutan ini sebagai platform memperkukuh perpaduan, keharmonian, dan semangat kebersamaan selaras dengan aspirasi Sabah First.

Selain pengisian pentas sepanjang program, sambutan ini turut dimeriahkan dengan Jamuan Rakyat selama empat hari yang melibatkan penyertaan 100 usahawan tempatan, khususnya daripada kalangan penjaja kecil, sebagai usaha menyokong perusahaan mikro dan kecil di Sabah.

Ewon juga memaklumkan bahawa majlis perasmian pembukaan akan disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Musa Aman, manakala majlis penutupan pula akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

Sementara itu, maklumat lanjut mengenai atur cara sambutan boleh diperoleh melalui laman media sosial rasmi Datuk Ewon Benedick, Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, serta Jabatan Penerangan Negeri Sabah.

Sumber:Kenyataan Media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal