TAWAU: 8 Disember 2025 – Seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan polis selepas disyaki mengamuk dan mengugut untuk membunuh ibunya kerana tidak diberikan wang dalam satu kejadian di Batu 2, Jalan Apas.
Suspek didakwa menumbuk dinding rumah serta mengeluarkan ugutan bunuh sehingga menyebabkan mangsa ketakutan dan tampil membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 7.30 malam membabitkan seorang wanita tempatan berusia 58 tahun yang berada di kediamannya sebelum didatangi suspek, iaitu anak kandungnya sendiri.
Pasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau berjaya mengesan suspek di kawasan perkampungan, Jalan Apas kira-kira jam 3 petang keesokan harinya.
Ketika cubaan tangkapan dilakukan, suspek dipercayai cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam longkang berhampiran sebelum berjaya ditahan menggunakan kekerasan minimum.
Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Sumber: Polis Daerah Tawau
