KOTA KINABALU: 27 November 2025 – Calon nombor 1 N.21 Luyang daripada Parti Maju Sabah (SAPP), Gee Tien Siong, menegaskan komitmennya untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk Luyang melalui fokus terhadap kebersihan, pembaikan infrastruktur, keselamatan dan pembangunan ekonomi setempat sebagai tumpuan 100 hari pertamanya jika diberikan mandat pada 29 November 2025 nanti.
Gee menjelaskan bahawa kebersihan kawasan kediaman dan persekitaran awam merupakan antara tumpuan beliau termasuk kerja-kerja pembersihan sampah sarap, pelupusan kenderaan lama, serta pemulihan taman rekreasi dan kemudahan awam lain bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selesa, selamat dan sihat untuk penduduk.

Beliau turut menekankan keperluan membaik pulih longkang, parit tersumbat dan saliran yang rosak, yang sering menjadi punca banjir kilat di kawasan tertentu.
Selain itu, keadaan jalan berlubang dan permukaan jalan yang teruk turut menjejaskan keselamatan dan kelancaran pergerakan penduduk dan pembaikan infrastruktur ini perlu dilaksanakan secara terancang bagi memastikan manfaat dapat dirasai secara menyeluruh.

Dalam usaha meningkatkan kemudahan bagi penduduk dan menyokong perkembangan ekonomi setempat, Gee turut mencadangkan kemudahan parkir percuma di kawasan strategik Luyang dengan menekankan bahawa kemudahan ini adalah untuk memudahkan rakyat tetapi tidak bermaksud kos penyelenggaraan diabaikan, malah ia perlu ditanggung kerajaan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pengguna.
Tindakan ini, katanya, selaras dengan kaedah yang telah dijalankan di kawasan awam seperti tempat pakir tasik Kompleks Sukan Kota Kinabalu serta kekurangan tempat parkir Hospital Queen Elizabeth I dan II, dan diharap dapat mengurangkan beban lalu lintas serta menyokong aktiviti perniagaan di kawasan berkenaan.

Gee turut menekankan kepentingan ketelusan dalam pengurusan dana ADUN dan beliau akan mewujudkan akaun khas bagi membentangkan laporan perbelanjaan kepada rakyat supaya masyarakat mengetahui secara jelas bagaimana dana digunakan untuk pembangunan Luyang jika diberikan peluang oleh pengundi.
Beliau juga menjelaskan bahawa kawasan Luyang merangkumi Borneon Centre, Lintas, Lido, 88 Market dan bukan hanya Foh Sang, selain kawasan kampung yang sering diabaikan seperti Jalan Santung, Kampung Kepungit dan Kepayan Ridge yang memerlukan perhatian khusus.
Memandangkan tanah untuk pembangunan baharu semakin terhad, Gee menekankan usaha menaik taraf taman-taman, kemudahan awam, serta langkah pencegahan denggi sebagai keutamaan.
Dalam sektor pendidikan, beliau menyatakan kapasiti KK High School sudah melebihi kemampuan menampung jumlah pelajar yang semakin meningkat setiap tahun dan ekiranya diberi mandat pada 29 November kelak, Gee mencadangkan pembinaan sekolah baharu di tanah seluas kira-kira lima ekar di sepanjang Jalan Lintas menuju Donggongon.
Dengan fokus menyeluruh merangkumi kebersihan, keselamatan, infrastruktur, pendidikan, pembangunan ekonomi serta kemudahan parkir percuma, Gee Tien Siong berharap dapat merealisasikan Luyang sebagai kawasan yang lebih moden, selesa dan berdaya saing sekiranya diberikan kepercayaan oleh pengundi.
