KOTA KINABALU : 29 April — Sebanyak 1,729 peluang pekerjaan diwujudkan melalui sektor hiliran sawit dan biojisim di POIC Lahad Datu melibatkan 75 syarikat, dengan kira-kira 85 peratus daripadanya disandang warga tempatan termasuk belia dari kawasan Lahad Datu.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Ewon Benedick, berkata industri berkenaan merangkumi pelbagai aktiviti seperti oleokimia, biodiesel dan penghasilan produk berasaskan biojisim.
“Pelaburan ini telah mewujudkan 1,729 peluang pekerjaan setakat ini, dengan sekitar 85 peratus diisi oleh warga tempatan termasuk belia dari kawasan sekitar Lahad Datu,” katanya ketika menjawab soalan Mohammad Yusof Apdal (Silam) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Menurutnya, sektor itu menyediakan pelbagai peluang pekerjaan meliputi operator pengeluaran dan pemprosesan, juruteknik dan penyelenggaraan mesin, penyelia operasi dan kawalan kualiti, pegawai teknikal dan kejuruteraan serta sokongan logistik, utiliti, keselamatan dan pentadbiran.
Dari segi pendapatan, kadar gaji adalah kompetitif bergantung kepada tahap kemahiran dan pengalaman, dengan pekerja am dan operator menerima sekitar RM1,500 hingga RM2,600 sebulan, juruteknik atau penyelia antara RM2,500 hingga RM4,000, manakala pegawai teknikal atau profesional RM4,000 dan ke atas, katanya.
Beliau berkata, sektor itu turut menyediakan laluan perkembangan kerjaya kepada belia tempatan untuk meningkat daripada peringkat operator ke penyelia dan seterusnya ke peringkat teknikal atau pengurusan melalui pengalaman kerja serta latihan berterusan.
Menjawab soalan tambahan, kerajaan negeri melalui POIC akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi latihan dan institusi kemahiran bagi menyediakan program pensijilan serta peningkatan kemahiran bagi memastikan tenaga kerja tempatan kekal relevan dan berdaya saing.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada cadangan khusus untuk mewujudkan pusat latihan satelit di Lahad Datu, namun kerjasama dengan kerajaan Persekutuan boleh dipertimbangkan.
“Operasi syarikat di POIC Lahad Datu turut mewujudkan rantaian perkhidmatan dan industri berkaitan yang memberi kelebihan kepada penduduk tempatan termasuk peluang kepada usahawan belia untuk terlibat dalam rantaian bekalan,” katanya.
