53 peratus hutan Sabah dilindungi, atasi sasaran
Deklarasi Langkawi
KOTA KINABALU: Lima puluh tiga peratus tanah Sabah adalah hutan simpan kekal dan kawasan yang dilindungi. Angka ini mengatasi Deklarasi Langkawi 1989 yang mahu mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada tanah negara sebagai hutan semula jadi.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, Sabah adalah rumah kepada kepelbagaian biodiversiti dan ekosistem yang mempunyai kepentingan di peringkat global dan ini menjadikan pemuliharaan hutannya adalah penting.
“Ketika negara-negara mengadakan rundingan pada Sidang Kemuncak Bumi pada 1992, Sabah sudah pun melaksanakan pemuliharaan hutannya.
“Kita mula merangka cadangan dan tindakan dengan strategi untuk mempromosi, melindungi dan mengurus sumber asli secara mampan.
“Tindakan ini adalah selaras dengan hasil Sidang Kemuncak Bumi serta konvensyen dan perjanjian lain,” katanya di majlis makan malam Persidangan Antarabangsa Dalam Agroperhutanan Ke-4 (ICAF 2022) di Hotel Promenade di sini malam Selasa.
Ucapan beliau disampaikan oleh Datuk Frederick Kugan, Ketua Konservator Hutan, Sabah.
Ketua Menteri berkata, agroforestri boleh meningkatkan kepelbagaian hayat kerana pokok dalam sistem agroforestri menyediakan habitat untuk pelbagai spesies. Ia juga menyediakan “zon penampan” terhadap penebangan hutan dan bertindak sebagai “koridor hijau”, bagi membenarkan spesies berhijrah merentasi landskap untuk kemandirian mereka.
“Agroperhutanan sebagai sistem guna tanah boleh menyumbang kepada pencapaian sekurang-kurangnya sembilan daripada 17 matlamat pembangunan mampan (SDG),” katanya menambah bahawa pandemik Covid-19 menjadi peringatan dalam isu keselamatan makanan Malaysia.
Agroperhutanan memerangi kemiskinan dan kelaparan kerana pendekatannya boleh menyumbang kepada hasil lebih tinggi dan mata pencarian yang pelbagai. Ini bermaksud ada pelbagai cara untuk menampung kehidupan pekebun kecil yang hidup dalam kemiskinan, katanya.
“Jika dilakukan dengan betul, Agroperhutanan boleh mengurangkan kebergantungan pada satu-satu tanaman dan memperbaiki kesuburan tanah yang merupakan aspek penting untuk meningkatkan keselamatan makanan,” katanya.
Namun begitu, Hajiji berkata pelaksanaan agroperhutanan mempunyai cabarannya tersendiri.
“Untuk melaksanakannya mesti ada inisiatif pendidikan dan penyelidikan menggunakan teknologi baharu yang boleh meningkatkan produktiviti secara mesra alam,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap peserta ICAF 2022 akan menggunakan sepenuhnya persidangan bertema “Agroforestry for Sustainable and Resilient Communities” itu untuk berkongsi hasil penyelidikan dan meningkatkan rangkaian penyelidikan dalam dan luar negara supaya agroperhutanan di rantau ini berjaya dan mampan.
“Saya gembira banyak pengetahuan dan idea tentang agroforestry akan dikongsi dalam persidangan ini oleh pakar. Saya percaya perbincangan dan cadangan yang dikemukakan akan diambil perhatian oleh semua hadirin,’ katanya.
– Tv Sabah News
0 Comments