KUALA LUMPUR: 7 September 2025 – Seramai 529 wiramuda Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 3/2025 melapor diri di dua kem Askar Wataniah, sekali gus menutup siri percubaan terakhir tahun ini.
Daripada jumlah itu, 279 peserta lelaki ditempatkan di Kem 505, Pekan, Pahang manakala 250 peserta wanita mengikuti latihan di Kem 515, Kuala Lumpur.
Mereka merupakan kumpulan ketiga yang menyertai program berkenaan selepas dua siri terdahulu berjalan lancar.
Menurut kenyataan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), peserta berusia 18 tahun ke atas itu akan menjalani latihan bersepadu yang menekankan pembinaan jati diri, disiplin, semangat patriotik, kesukarelawanan serta asas ketenteraan ringan.
Siri kali ini turut menarik penyertaan sukarela yang tinggi, selain peserta yang dipilih melalui sistem undian (balloting) dalam kalangan belia lahir pada tahun 2007.
PLKN 3.0 yang diperkenalkan semula tahun ini berfungsi sebagai fasa percubaan sebelum dilaksanakan sepenuhnya secara berperingkat mulai 2026.
Sumber: Buletin TV3