38 Tahun Berjuang Demi Sabah: Jeffrey Kitingan Rayu Rakyat Sabah Jangan Berhenti Pertahan Hak

Gambar DDJK 1

Tambunan, 27 November 2025 – Dalam satu kenyataan penuh emosi dan ketegasan, Ahli Parlimen P180 Keningau merangkap Calon No.3 bagi N.39 Tambunan, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, menyeru rakyat Sabah agar tidak menghentikan perjuangan menuntut hak negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya tuntutan 40 peratus hasil Sabah.

Dalam kenyataan yang disampaikan, Dr. Jeffrey berkongsi memori sepanjang 38 tahun perjuangannya, termasuk pengalaman dipenjarakan di bawah ISA selama 2 tahun 7 bulan, yang menurutnya bukan kerana jenayah, tetapi kerana mempertahankan hak Sabah.

“Saya bukan bercakap sebagai ahli politik, tetapi sebagai seorang anak Sabah yang pernah melalui jatuh bangun, hinaan dan perpisahan daripada keluarga kerana perjuangan untuk keadilan,” katanya.

Menurutnya, pengiktirafan tarikh kemerdekaan Sabah, kedudukan MA63, serta keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober 2025 yang menegaskan hak Sabah terhadap 40% hasil negeri itu adalah “kemenangan rakyat Sabah” dan titik penting dalam sejarah perjuangan autonomi negeri.

Gambar DDJK 2

Namun, beliau menegaskan bahawa perjuangan tersebut belum selesai.

“Jika kita serahkan masa depan Sabah kepada mereka yang tidak memahami MA63 dan takut kepada parti-parti Malaya, kita akan hilang segala-galanya,” tegasnya.

Dr. Jeffrey turut menjelaskan bahawa 40% hasil Sabah bukan sekadar angka, tetapi merupakan masa depan generasi akan datang. Dengan jumlah itu, katanya, Sabah berpotensi menyediakan pendidikan percuma, menghapuskan miskin tegar, dan memperuntukkan RM100 juta kepada setiap DUN setiap tahun.

Beliau merayu seluruh rakyat Sabah agar tidak berhenti berjuang, terutamanya ketika usaha tersebut semakin hampir mencapai kejayaan.

“Pokok perjuangan sudah berbuah… jangan biarkan orang lain datang memetiknya,” katanya.

Dr. Jeffrey turut menyentuh tentang masa depan anak-anak Sabah, ibu mengandung serta cucu-cucu generasi akan datang yang menurutnya bakal mewarisi kesan keputusan politik hari ini.

“Ini bukan perjuangan Jeffrey Kitingan. Ini perjuangan sebuah bangsa yang tidak mahu lagi dibuli dan mahu berdiri megah sebagai rakyat negeri merdeka,” katanya lagi.

Beliau mengakhiri kenyataan dengan menyeru sokongan pada Pilihan Raya Umum DU Sabah ke-17.

“Sabah ini rumah kita. Kita jagalah rumah kita. Dan pastikan kunci rumah kita, kita sendiri yang simpan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal