34 kilang digempur serentak, 519 warga asing ditahan

4cac1885 29cf 480c bce3 78c400c47a20

Oleh: Nurul.N

KLANG: Seramai 519 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu yang dijalankan serentak di 34 lokasi perkilangan seluruh negara dari 18 hingga 20 November.

Operasi berskala nasional itu melibatkan 569 pegawai imigresen dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Pendaftaran Negara, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia termasuk pihak berkuasa tempatan.

Menurut JIM, operasi itu dilaksanakan berdasarkan aduan awam, maklumat risikan dan pemantauan penguatkuasaan untuk mengesan pelanggaran undang-undang imigresen, khususnya berkaitan penggajian dan keberadaan warga asing yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

Sepanjang operasi itu, seramai 1,702 individu diperiksa sebelum 519 warga asing berusia antara 22 hingga 56 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

Mereka yang ditahan termasuk warga Bangladesh, Myanmar, Nepal, Indonesia, India, China, Taiwan dan beberapa negara lain.

cda6638b a43f 4d29 b842 4333eec174ba

Sejumlah 71 warga asing ditahan hasil pemeriksaan pada 131 individu di sebuah kilang memproses paku di Meru, Klang, bermula jam 6 petang, 20 November.

Operasi di lokasi itu dilaksanakan pasukan penguat kuasa Ibu Pejabat JIM Putrajaya dan turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Datuk Lokman Effendi Ramli dan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM, Datuk Basri Othman.

Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa.

JIM menegaskan tindakan penguatkuasaan turut menyasarkan majikan, pengendali premis dan mana-mana pihak yang menggaji, melindungi atau memudahkan pelanggaran undang-undang imigresen.

Sumber: JIM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal