Oleh: Nurul Fazliana Norman
KUALA LUMPUR: 5 Oktober 2026 – Seramai 3,025 pelatih baharu ditawarkan mengikuti program pra-perkhidmatan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) untuk sesi Oktober 2026, melibatkan 10 program diploma dan satu program sijil.
Daripada jumlah itu, 2,995 tawaran dibuat melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), manakala 30 tawaran adalah badan berkanun, bersamaan 90.7 peratus daripada keseluruhan 3,335 kuota yang disediakan KKM.
Sebanyak 2,961 pelatih ditawarkan mengikuti program peringkat diploma dengan tempoh pengajian tiga tahun, manakala 64 pelatih menerima tawaran program Sijil Pembantu Pembedahan Pergigian yang mengambil masa dua tahun.
Diploma Kejururawatan merekodkan jumlah pengambilan tertinggi dengan 1,818 calon ditawarkan mengikuti latihan pada sesi berkenaan.
KKM menyediakan 3,000 kuota Diploma Kejururawatan setahun, masing-masing 1,500 tempat untuk setiap sesi pengambilan.
Pengambilan itu merupakan sebahagian daripada usaha KKM menyediakan tenaga kerja kesihatan yang kompeten untuk memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan negara dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Sepanjang tempoh latihan, pelatih akan menjalani pembelajaran teori, latihan amali dan pendedahan klinikal selain diberi penekanan terhadap aspek keselamatan pesakit, kemahiran profesional dan penyampaian perkhidmatan berkualiti.
Pelatih turut didedahkan dengan nilai integriti, disiplin, profesionalisme dan kerja berpasukan sebagai persediaan sebelum memasuki alam perkhidmatan kesihatan.
Graduan yang menamatkan latihan berpeluang menyumbang dalam pelbagai bidang termasuk kejururawatan, perubatan dan kesihatan, farmasi, diagnostik, pemulihan termasuk pergigian.
KKM turut menghargai sokongan ibu bapa dan penjaga dalam membantu pelatih menyesuaikan diri, menamatkan latihan di ILKKM dengan jayanya.
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

