Oleh: Nurul Fazliana Norman
KUALA KURAU: 26 Oktober 2026 – Seramai 19 kru kapal korek pasir MV VIVO ARYA berjaya diselamatkan dalam operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas kapal itu dilaporkan tenggelam kira-kira 25 batu nautika barat laut Pulau Pasir Hitam, Perak, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau menerima panggilan kecemasan menerusi talian 999 pada jam 5.53 pagi sebelum operasi CARILAMAT diaktifkan pada jam 6.30 pagi.
Operasi itu melibatkan aset Maritim Malaysia, iaitu KM GAGAH dan Bot PERKASA 1238, dengan bantuan komuniti maritim di sekitar lokasi kejadian.
Daripada 19 kru berkenaan, sembilan orang diselamatkan oleh kapal korek pasir MV YAODE 1 yang berada berhampiran lokasi kejadian, manakala sembilan lagi diselamatkan oleh MV VIVO DIYA ketika berada di dalam rakit penyelamat.
Kesemua 18 kru itu kemudian dibawa ke Jeti Batu Maung untuk tindakan lanjut.
Seorang lagi kru yang dilaporkan hilang, Tang Jifu, 57, warga China, ditemukan dalam keadaan selamat oleh Bot PERKASA 1238 ketika operasi sedang dijalankan.
Mangsa dibawa ke Jeti Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kurau sebelum dihantar ke hospital berhampiran untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Zainudin berkata, kejayaan menyelamatkan kesemua kru itu membuktikan kepentingan koordinasi pantas antara aset Maritim Malaysia dengan komuniti maritim dalam memastikan bantuan dapat diberikan segera ketika kecemasan di laut.
“Maritim Malaysia mengingatkan semua komuniti maritim supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di laut, termasuk memastikan jaket keselamatan dipakai dengan betul dan peralatan keselamatan berada dalam keadaan baik.
“Persediaan awal seperti ini amat penting untuk mengurangkan risiko kehilangan nyawa apabila berlaku kecemasan,” katanya.
Operasi CARILAMAT ditamatkan secara rasmi pada jam 4.30 petang selepas kesemua 19 kru berjaya ditemukan dan diselamatkan.
Sumber: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

