Yang Di Pertuan Agong: Kembali Kepada Niat Asal Pembentukan Malaysia dalam perjanjian 1963

photo 2026 01 20 11 22 26

KUALA LUMPUR: 19 Januari 2026 – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengingatkan Ahli Parlimen supaya kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Perjanjian Malaysia 1963 menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara yang berpaksikan perpaduan, saling menghormati serta kerjasama erat antara negeri-negeri dan Kerajaan Persekutuan,” tegas Baginda.

Sehubungan itu, Sultan Ibrahim menggesa wakil rakyat supaya lebih berhati-hati dalam ucapan dan tindakan agar tidak mencetuskan ketegangan antara wilayah.

“Sebarang perbezaan pandangan perlu diselesaikan secara matang, dan bukan melalui kebencian atau syak wasangka,” titah Baginda sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15, hari ini.

Baginda turut mengingatkan bahawa hak-hak negeri wajar sentiasa dihormati, namun kepentingan negara secara keseluruhan perlu diutamakan.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong menyeru Ahli Parlimen melaksanakan tugas dengan amanah, bijaksana dan penuh tanggungjawab demi kepentingan seluruh rakyat.

Sultan Ibrahim turut menekankan bahawa setiap perbahasan, keputusan dan undian di Dewan Rakyat bukan sekadar pendirian politik, sebaliknya akan menentukan masa depan negara.

Baginda juga mahu Rancangan Malaysia Ke-13 yang bermula tahun ini memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, khususnya dalam bidang pendidikan, perumahan, kesihatan dan pengangkutan awam.

Sumber : Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal