Yakub Khan berpotensi sebagai calon TPM, jika BN menang: Bung
KOTA KINABALU: Calon BN bagi kerusi parlimen di Sepanggar Datuk Yakub Khan berpeluang menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan persekutuan jika BN berjaya mentadbir Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-15 ini.
Itupun jika Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah itu menang dan merampas kerusi Sepanggar yang disandang oleh calon daripada Warisan Datuk Mohd Azis Jamman.
“InsyaAllah, apabila BN mentadbir Putrajaya nanti mungkin Yakub boleh mendapat jawatan yang lebih baik lagi, malah silap-silap menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM),” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Kata Bung Moktar, Yakub mungkin berpeluang menjawat jawatan yang lebih baik dalam kerajaan persekutuan jika BN berjaya mentadbir Putrajaya.
Dalam PRU15, Yakub berdepan saingan daripada penyandang Datuk Mohd Azis Jamman (WARISAN), Jumardie Lukman (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat), Mustapha Sakmud (Pakatan Harapan) dan Yusof Kunchang (PEJUANG).
Sehubungan itu, Bung mengingatkan pemimpin BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) supaya sama-sama memenangkan calon BN dan GRS di semua 25 kawasan Parlimen yang ditandingi kedua-dua gabungan itu.
“Saya tinggalkan kawasan saya di Kinabatangan untuk pastikan sahabat saya di Tenom, Beaufort dan lain-lain kawasan menang. Malah, Sipitang yang ditandingi GRS pun saya tolong.
“Sama ada pemimpin BN atau GRS, kita bekerjasama memenangkan calon kita di Sipitang, Papar, Beaufort, Tuaran dan di tempat lain,” katanya.
Beliau juga menggesa penduduk Sepanggar untuk tidak membiarkan kawasan mereka sekali lagi dikuasai pembangkang selepas sepenggal berada di bawah Parti Warisan (WARISAN).
Katanya, Sepanggar perlu memastikan calon BN, Datuk Yakub Khan menang lebih-lebih lagi beliau adalah satu-satunya anak tempatan daripada lima calon yang bertanding di kerusi Parlimen Sepanggar.
Katanya, jika calon pembangkang masih dikekalkan pada PRU15 ini, Sepanggar mungkin terus mundur berbanding kawasan lain yang diwakili wakil rakyat kerajaan.
“Yakub rumah dia di sini dan dia tiada tempat lain lagi mahu pergi selain di Sepanggar jadi selayaknya dia dipilih oleh pengundi di kawasan ini.
Bung yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, inilah peluang rakyat di Sepanggar mengubah keadaan di kawasan mereka agar tidak mundur atau terus ketinggalan.
“Jika dibandingkan dengan Kinabatangan, Sepanggar ini tidaklah luas tetapi Kinabatangan lebih membangun atas usaha saya.
“Kalau dulu datang ke Kinabatangan hanya ada hutan rimba saja, tempat hantu bertandang, tetapi sekarang jalan rayanya kalah yang ada di bandar,” katanya. Bung adalah calon BN bagi kerusi Parlimen Kinabatangan.
– Tv Sabah News
0 Comments