KOTA KINABALU, 10 Januari 2026 – Parti Warisan telah memfailkan empat petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan rasmi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Kapor, Pitas, Karambunai dan Kunak dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah lalu. Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua, mengesahkan petisyen itu melibatkan kerusi Tanjong Kapor, Pitas, Karambunai dan Kunak atas dakwaan kesalahan pilihan raya, termasuk isu politik wang.
Selain itu, keputusan DUN Pintasan dan Sindumin turut dicabar melalui petisyen. Bagi Pintasan, petisyen difailkan oleh calon GRS yang tewas, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, manakala bagi Sindumin, seorang pengundi memfailkan petisyen berhubung dakwaan ketidakteraturan proses pengundian.
Sementara itu, calon bebas DUN Karanaan, Naomi Francis, memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar kemenangan Datuk Seri Masidi Manjun. Beberapa calon lain yang tewas dalam PRN Sabah turut dilaporkan memfailkan petisyen pilihan raya sebelum tarikh akhir 27 Disember. Bagaimanapun, tidak semua petisyen diumumkan secara terbuka.
