Warga tua, OKU dan orang sakit diberi perhatian
SANDAKAN: Golongan warga tua, kanak-kanak kelainan upaya dan orang sakit yang kurang berkemampuan memerlukan pembelaan dan perhatian supaya mereka boleh menikmati kehidupan yang selesa serta sihat.
Calon Barisan Nasional (BN) Libaran, Datuk Suhaimi Nasir yang meluangkan masa menziarahi golongan yang kurang bernasib baik itu di sini pada Rabu mahu agenda membantu golongan tersebut diteruskan.
“Sekiranya diberi peluang oleh rakyat di Parlimen Libaran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) saya akan sediakan kemudahan untuk mereka,” katanya.
Dalam ziarah itu, beliau bertemu dengan warga tua, kanak-kanak kelainan upaya dan orang sakit sambil mendengar masalah yang mereka hadapi.
“Golongan ini memerlukan pembelaan dan perhatian sewajarnya, apatah lagi jika mereka datang dari latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan.
“Banyak kos yang perlu ditanggung untuk menjaga ahli keluarga yang sakit dan atas dasar itu saya berazam mahu membela nasib mereka,” katanya ketika melawat warga emas di Kampung Tinusa 1, kelmarin.
Menurut Suhaimi, agenda membela nasib rakyat adalah antara perjuangan beliau selain daripada membawa lebih banyak pembangunan untuk kawasan Libaran.
“Kita ingin membangunkan Libaran bukan sahaja dari segi infrastruktur, tetapi juga dari segi ekonomi dan sosial rakyat agar kemajuan bergerak secara seiring,” jelasnya.
– Tv Sabah News
0 Comments