SIBU: 21 September 2025 – Seorang wanita warga emas berusia lingkungan 70-an kerugian RM60,794 selepas diperdaya tiga wanita yang menyamar sebagai bomoh dengan alasan mahu membuang “nasib malang” yang kononnya boleh mengundang musibah kepada keluarganya.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, kejadian berlaku pada Jumaat lalu ketika mangsa, seorang suri rumah, didatangi seorang wanita tidak dikenali di pusat bandar Sibu.
Suspek dipercayai warga China berdasarkan loghat percakapan, kononnya bertanya arah kedai ubat tradisional Cina.
Tidak lama kemudian, seorang lagi wanita muncul dengan pertanyaan mengenai lokasi upacara membuang nasib malang.
Mangsa seterusnya dipujuk berjalan kaki ke kawasan parkir berdekatan sebelum diarahkan masuk ke sebuah kereta yang sudah sedia menunggu bersama seorang lagi wanita.
Di dalam kenderaan itu, mangsa dimaklumkan bahawa dirinya kononnya mengalami “nasib malang” yang boleh membawa kesan buruk kepada ahli keluarga sekiranya tidak segera dibuang melalui ritual khas.
Dalam keadaan takut, mangsa akur menyerahkan wang tunai dan barang kemas bernilai puluhan ribu ringgit.
Selepas ritual dijalankan, suspek menyerahkan bungkusan plastik hitam kepada mangsa dengan arahan supaya tidak membukanya selama seminggu. Namun, rasa curiga anak mangsa mendorong bungkusan itu dibuka lebih awal, dan isi kandungannya hanyalah sebungkus mi segera, sekilogram garam serta empat botol air mineral.
Menyedari dirinya diperdaya, mangsa segera membuat laporan polis.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, manakala usaha mengesan ketiga-tiga suspek sedang giat dijalankan pihak berkuasa.
Polis dalam pada itu menasihatkan orang ramai, khususnya golongan warga emas, agar lebih berhati-hati terhadap helah penipuan berunsur keagamaan atau ritual yang sering digunakan sindiket untuk memperdaya mangsa.
Sumber: Harian Metro
