Wanita Mendakwa Zara Dimasukkan Ke Dalam Mesin Basuh Digesa Serah Maklumat

KOTA KINABALU: 6 Ogos 2025 – Seorang wanita yang mendakwa Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dimasukkan ke dalam mesin basuh digesa tampil menyerahkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

Satu video siaran langsung di TikTok memaparkan seorang wanita mendakwa kononnya terdapat rakaman CCTV kejadian Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh tular di media sosial. Video itu kemudiannya dikongsi semula oleh pengguna lain di pelbagai platform.

Peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri menjelaskan, video wanita yang menyebut perkara tersebut hanyalah spekulasi semata-mata.

Menurut mereka, anak guamnya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan dakwaan tersebut kepada sesiapa.

Mereka turut meminta wanita berkenaan supaya segera menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak polis untuk membolehkan siasatan dijalankan.

17 Julai lalu, seorang pelajar Tingkatan 1 di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah, Zara, ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh dari bangunan asrama sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) pada jam 1.07 petang.

Insiden tersebut tular di media sosial berikutan dakwaan wujudnya kejadian buli yang mengaitkan kematian pelajar berkenaan dengan anak seorang menteri, individu kenamaan (VIP) serta pihak berpengaruh, sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.

Mereka juga menafikan naratif tular kononnya Zara dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I pada jam 8 pagi, 16 Julai, dengan menjelaskan bahawa maklumat itu tidak sahih dan hanya andaian semata-mata.

Kes tersebut menjadi tumpuan susulan dakwaan berkaitan insiden buli di sekolah. Polis menegaskan siasatan sedang dilakukan dan mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Sumber: Sabah Media

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal