KOTA KINABALU: 22 Oktober 2025 — Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang menegaskan bahawa wanita luar bandar bukan sekadar pengikut, tetapi pemimpin bersama dalam usaha membina masyarakat desa yang progresif, inklusif dan berdaya tahan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar Negeri Sabah 2025 anjuran Institut Kemajuan Desa (INFRA) yang berlangsung di Grand Ballroom, Hotel Hilton, Kota Kinabalu, dihadiri hampir 300 peserta dari seluruh negeri termasuk Keningau, Kota Belud, Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang, Putatan dan Papar.
“Kita tidak lagi bercakap tentang wanita sebagai pengikut, sebaliknya wanita adalah pemimpin bersama yang memainkan peranan penting dalam kemajuan komuniti mereka,” tegasnya.
Menurut beliau, tema seminar tahun ini, “Wanita Inklusif, Desa Progresif”, amat bertepatan dengan usaha kerajaan memperkasakan golongan wanita luar bandar agar terus maju seiring arus pembangunan negara.
Datuk Rubiah menjelaskan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sentiasa komited memastikan wanita luar bandar menikmati akses sama rata terhadap peluang pendidikan, latihan kemahiran, dan ekonomi.
Melalui Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB), pelbagai inisiatif dilaksanakan termasuk modul khas latihan wanita oleh INFRA yang telah melatih lebih 1,300 peserta di seluruh negara tahun ini.
“Wanita di luar bandar berhak menikmati peluang yang sama dalam membina kehidupan lebih baik. Kita mahu memastikan tiada wanita tercicir hanya kerana cabaran geografi atau kekurangan akses,” tambahnya.
Dalam konteks politik negeri, Datuk Rubiah turut mengingatkan tentang peranan besar wanita menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang semakin hampir.
Beliau menyatakan bahawa lebih 50 peratus pengundi berdaftar di Sabah terdiri daripada wanita, menjadikan suara mereka penting dalam menentukan hala tuju pentadbiran negeri.
“Wanita luar bandar harus menjadi penyumbang utama, bukan hanya pengundi pasif. Sudah tiba masanya mereka bertanding, memimpin jawatankuasa kampung, koperasi, dan NGO,” katanya sambil menambah bahawa KKDW bersama NGO wanita Sabah kini giat menyediakan latihan kepimpinan dan forum advokasi politik untuk wanita.
Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru wanita luar bandar untuk bangkit, bersuara dan memimpin, serta menjadikan seminar ini sebagai platform membina jaringan dan berkongsi ilmu demi kemajuan bersama.
“Kejayaan bukan kebetulan, tetapi hasil kerja keras, ketekunan dan cinta terhadap apa yang dilakukan,” katanya dengan penuh inspirasi sebelum merasmikan seminar tersebut.

