KOTA KINABALU: 11 September 2025 – Seorang wanita tempatan berusia 32 tahun dijatuhi hukuman denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu selepas mengaku bersalah atas kesalahan menyebarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah melalui media sosial.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Bin Muda, berkata kes tersebut bermula pada 1 Ogos lalu apabila polis menerima laporan mengenai hantaran di akaun Facebook bernama “Ash Qiey” yang berunsur fitnah terhadap TYT Sabah.
Hasil siasatan membawa kepada penangkapan suspek di Kota Marudu, di mana polis turut merampas sebuah telefon bimbit bersama kad SIM dipercayai digunakan untuk membuat hantaran tersebut.
Pada 11 September 2025, tertuduh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Hakim Marlinah binti Ibrahim menjatuhkan hukuman denda RM10,000.00. Sekiranya gagal membayar, tertuduh akan menjalani hukuman penjara selama dua bulan.
Polis menegaskan bahawa pihaknya memandang serius sebarang bentuk kenyataan berunsur fitnah, hasutan atau penghinaan yang dibuat di media sosial, terutama melibatkan institusi negeri.
Tindakan tegas tanpa kompromi akan terus diambil bagi memastikan keharmonian dan keselamatan masyarakat sentiasa terpelihara.
Sumber: Kenyataan Media