Wanita Dicekup, Judi Haram Terus Diperangi di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: 30 Julai 2025 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneruskan usaha membanteras kegiatan perjudian haram di Sabah apabila satu lagi serbuan berjaya dilaksanakan di Pekan Menggatal, Kota Kinabalu hasil maklumat awam.

Serbuan yang dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kota Kinabalu itu dilakukan selepas menerima maklumat melalui saluran QR Code Aduan Masyarakat.

Dalam operasi tersebut, seorang wanita tempatan berusia 34 tahun telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pertaruhan haram yang dikenali sebagai Wa Hui. Polis turut merampas beberapa peralatan berkaitan aktiviti judi serta sejumlah wang tunai yang dipercayai hasil kegiatan terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara jika sabit kesalahan.

PDRM Sabah menegaskan komitmen mereka untuk terus mempergiatkan operasi seumpama itu dan menyeru orang ramai agar tidak teragak-agak menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kegiatan jenayah demi menjaga ketenteraman awam serta kesejahteraan komuniti setempat.

Sumber: JPJKK Kontinjen Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal