Wanita dan Belia Tumpuan Utama Pembangunan Ekonomi Negara

Gambar Menteri KUSKOP Dalam Ucapan Penggulungan

KUALA LUMPUR: 30 Oktober 2025 – Golongan wanita dan belia terus menjadi tumpuan utama dalam pembangunan ekonomi negara menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif keusahawanan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) selaras dengan Belanjawan 2026: Memacu Ekonomi MADANI.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata kementerian itu menerima peruntukan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM1.03 bilion, meningkat hampir 26 peratus berbanding tahun lalu. Peruntukan berkenaan akan dimanfaatkan bagi memperkukuh latihan, pembiayaan dan pembangunan kapasiti khusus untuk wanita dan belia.

Sepanjang tahun ini, lebih 249,000 usahawan wanita menerima pembiayaan berjumlah RM2.19 bilion melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), manakala TEKUN Nasional menyalurkan RM332.9 juta kepada 17,385 usahawan wanita. Program lain seperti BRPlus–i BizLady oleh Bank Rakyat turut menyalurkan RM73 juta kepada hampir seribu peserta wanita, selain PERNAS dan UDA Holdings yang memberi peluang niaga kepada lebih 200 usahawan wanita.

KUSKOP turut menyasarkan lebih 330,000 wanita mendapat manfaat dari 42 program antara kementerian dan agensi sepanjang tahun 2025.

Selain itu, bagi melahirkan lebih ramai usahawan muda, pelbagai program dijalankan termasuk Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang memberi manfaat kepada 547 peserta dengan peruntukan RM14.47 juta.

Antara lain, TEKUN Nasional menyalurkan RM410 juta kepada lebih 16,000 usahawan muda, manakala PERNAS, Bank Rakyat, INSKEN dan PROTÉGÉ turut melaksanakan pelbagai program latihan dan pembiayaan melibatkan ribuan belia di seluruh negara.

Selaras dengan agenda reformasi sektor awam, KUSKOP memperkenalkan penambahbaikan proses pembiayaan termasuk pengurangan dokumentasi permohonan TEKUN kepada empat dokumen, serta tempoh kelulusan lebih cepat, hanya enam hari bagi pembiayaan mikro dan 14 hari bagi pembiayaan PKS. Langkah ini bertujuan memastikan lebih ramai usahawan baharu dapat memulakan perniagaan dengan pantas dan efisien.

KUSKOP komited memastikan golongan wanita dan belia kekal menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negara melalui peluang keusahawanan yang lebih inklusif, inovatif dan berdaya saing. Penyertaan aktif dua kumpulan ini dijangka terus memperkukuh daya tahan ekonomi serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan di peringkat komuniti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal