MADRID: 12 Mac 2026-
Real Madrid berada di landasan terbaik ke suku akhir UEFA Champions League selepas menewaskan Manchester City 3-0 pada aksi pertama pusingan 16 terbaik di Santiago Bernabéu Stadium, awal pagi tadi.
Kapten pasukan, Federico Valverde, muncul wira apabila meledak hattrick dalam tempoh 22 minit babak pertama untuk memberikan kelebihan besar kepada skuad Los Blancos.
Gol pembukaan hadir pada minit ke-20 apabila sepakan jauh penjaga gol Thibaut Courtois berjaya dimanfaatkan Valverde yang meloloskan diri dari kawalan pertahanan City sebelum menewaskan penjaga gol Gianluigi Donnarumma.
Tujuh minit kemudian, pemain Uruguay itu sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring selepas menerima hantaran Vinícius Júnior dan melepaskan rembatan kaki kiri ke penjuru gawang.
Valverde melengkapkan hattrick pada minit ke-42 menerusi jaringan menarik selepas menyambut hantaran Brahim Díaz sebelum melakukan voli yang gagal diselamatkan Donnarumma.
Memasuki babak kedua, Madrid berpeluang menambah jaringan menerusi sepakan penalti, namun Vinicius gagal menewaskan Donnarumma yang tepat membaca arah bola.
Sementara itu, jentera serangan City yang diketuai Erling Haaland gagal menembusi benteng pertahanan Madrid yang diterajui Antonio Rüdiger dan Dean Huijsen.
Courtois turut mempamerkan aksi cemerlang dengan beberapa penyelamatan penting untuk memastikan Madrid mengekalkan rekod tanpa bolos.
Jurulatih Madrid, Álvaro Arbeloa, memuji persembahan Valverde yang dianggapnya sebagai pemain penting dalam pasukan.
“Kami tahu Valverde mampu memberikan impak besar. Dia menunjukkan kepimpinan dan kualiti yang diperlukan oleh pemain Real Madrid,” katanya.
Kemenangan itu memberi kelebihan selesa kepada Madrid menjelang aksi timbal balik di Manchester minggu depan, manakala City perlu mencipta kemenangan besar untuk menghidupkan peluang mara ke suku akhir.
